Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerajaan M’sia kekalkan dasar UiTM untuk pelajar Bumiputera

Jun 26, 2024 | 5:06 PM
Kerajaan Malaysia kekalkan dasar Universiti Teknologi MARA (UiTM) khusus untuk pelajar Melayu, Orang Asli dan anak Sabah serta Sarawak dan tidak dibuka untuk pelajar bukan Bumiputera.
Kerajaan Malaysia kekalkan dasar Universiti Teknologi MARA (UiTM) khusus untuk pelajar Melayu, Orang Asli dan anak Sabah serta Sarawak dan tidak dibuka untuk pelajar bukan Bumiputera. - Foto UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA

KUALA LUMPUR: Dasar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang diperuntukkan untuk pelajar Melayu, Orang Asli dan anak Sabah serta Sarawak seperti yang terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, tidak akan diubah.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata dasar itu dikekalkan oleh kerajaan bagi mencapai usaha untuk merapatkan jurang antara kaum terutama melibatkan aspek sosio ekonomi.

“Laporan daripada Kongres Ekonomi Bumiputera pada 2024 oleh Kementerian Ekonomi menunjukkan masih terdapat jurang ekonomi melibatkan Bumiputera daripada segi purata pendapatan bulanan, pegangan ekuiti korporat, kadar kemiskinan, pengeluaran tenaga kerja mahir serta kelayakan profesional.

“Malah kadar miskin mutlak dalam kalangan Bumiputera masih memerlukan usaha secara berterusan untuk diperbaiki, lapor Kosmo!.

“Oleh demikian, pengekalan dasar UiTM untuk kaum Melayu, Orang Asli dan anak negeri Sabah dan Sarawak masih diperlukan,” kata Datuk Zambry di sidang Dewan Rakyat, menjawab soalan Encik Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) sama ada kerajaan bercadang membenarkan bukan Bumiputera menuntut di UiTM dengan meminda Akta UiTM 1976.

Datuk Zambry memberitahu UiTM merupakan sebuah Universiti Awam (UA) yang ditubuhkan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Seksyen 1A Akta UiTM 1976 (Akta 173).

Menurutnya, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan merangkumi kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam membuat penetapan kuota bagi kaum Melayu, anak Sabah dan Sarawak yang merupakan asas kepada agenda Bumiputera bagi pengambilan pelajar UiTM.

Kata beliau dalam masa sama, penubuhan UiTM adalah sebagai respons terhadap kekurangan golongan profesional yang terlatih, terutama dalam kalangan kaum Bumiputera di Malaysia yang rata-rata terlibat dalam sektor pekerjaan tidak mahir ketika itu.

“Dengan tertubuhnya UiTM, lebih ramai anak Bumiputera memperoleh peluang menyambung pengajian dan dilatih untuk mengisi pelbagai jenis jawatan sama ada dalam sektor awam mahupun dalam sektor industri sebagai keperluan dalam meningkatkan kualiti hidup serta mengubah nasib mereka di Malaysia.

“Ia termasuk dalam sektor pekerjaan yang berstatus profesional seperti doktor, akauntan, peguam, jurutera dan lain-lain,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg