PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia memberi jaminan semua calon cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mengira kaum, latar belakang dan wilayah, akan diberi peluang saksama untuk melanjutkan ke matrikulasi (program persediaan untuk melangkah ke universiti), tanpa menjejas kuota Bumiputera yang kekal sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kuota itu harus dikekalkan selaras prinsip Perlembagaan Perkara 153 serta jaminan masa depan Bumiputera Melayu agar tidak berlaku ketidakseimbangan.
Beliau memberi jaminan semua calon SPM yang memperoleh keputusan cemerlang 10A dan ke atas serta memohon melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, akan mendapat tempat tanpa mengira kaum atau latar belakang selaras keputusan Jemaah Menteri pada 28 Jun lalu.
“Kita ambil jalan yang kita anggap adil dan munasabah, kalau dia (pelajar) itu rakyat dan warga kita, kita harus pelihara tapi kita juga terima kenyataan mengenai meritokrasi, jadi tanpa mengira kaum dan wilayah, dapat 10A kita beri jaminan tempat di matrikulasi.
“Kuota Bumiputera kita tetap dikekalkan kerana ini keputusan sudah lama kerana berkait dengan Perlembagaan, jaminan masa depan Bumiputera Melayu supaya tidak berlaku ketidakseimbangan.
“Jadi penjawat awam harus faham, meritokrasi kita pertahankan, tetapi keadilan juga kita pertahankan,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya pada 1 Julai, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Datuk Anwar berkata pengumuman keputusan kerajaan itu sedikit sebanyak meredakan suhu ketegangan yang terpaksa dihadapi Kementerian Pendidikan (KPM) setiap tahun dalam membicarakan soal kuota Bumiputera dalam pendidikan yang dijadikan isu agak keterlaluan.
Program Matrikulasi diwujudkan sejak 1998 di bawah KPM, sebagai persediaan bagi pelajar melayakkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara.
Kuota kemasukan ke matrikulasi ialah 90 peratus untuk pelajar Bumiputera, manakala 10 peratus bagi pelajar bukan Bumiputera.
Memperincikan pengumuman Perdana Menteri itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata kerajaan akan memastikan semua lepasan SPM 2023 yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas, namun tidak mendapat tempat di matrikulasi atau program asasi universiti awam, akan ditawarkan tempat sewajarnya.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan KPM akan bekerjasama mengenal pasti kumpulan pelajar terbabit.
“Mungkin mereka tidak mendapat tempat di matrikulasi, tetapi mereka boleh dapat program asasi di universiti awam. Saya fikir sekarang ialah tempoh untuk penyesuaian… sama ada mereka dapat kededuanya atau biasiswa. Mereka perlu memilih satu,” katanya, lapor BHM.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg