Menjelang genap tiga tahun Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerajui Kerajaan Perpaduan sejak 24 November 2022, tumpuan kini terarah kepada pencapaian Perdana Menteri ke-10 itu, yang mengambil alih kepimpinan selepas hampir satu dekad Malaysia bergelut dengan ketidaktentuan politik.
Tokoh politik berusia 78 tahun yang masih tegap dan cergas memenuhi jadual kerja yang padat setiap hari, kini berada di fasa penting pentadbirannya yang berbaki kira-kira dua tahun lagi sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), yang diramalkan seawal 2027.
Pada 2025, Datuk Anwar boleh berbangga dengan beberapa pencapaian penting dan bersejarah dalam kepimpinannya, khususnya apabila peranan Malaysia sebagai Pengerusi Asean ke-47 menjadi pentas yang melonjakkan imej beliau di persada antarabangsa.
Di bawah kepimpinannya, Malaysia berjaya menampilkan Asean sebagai blok serantau yang tegas dan relevan dalam landskap geopolitik yang semakin mencabar.
Ia di samping memperkukuh reputasi negara sebagai suara sederhana yang mengutamakan keamanan dan keadilan dalam semua aspek.
Kehadiran sulung Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, sempena sidang puncak pada 26 Oktober lalu, turut menyerlahkan keupayaan Datuk Anwar sebagai pemimpin yang mampu berinteraksi secara berani dan seimbang dengan kuasa besar dunia.
Penganalisis politik dan hubungan antarabangsa, Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed, berkata meskipun ada pihak mempertikai lawatan Encik Trump ke Malaysia, hakikatnya kunjungan itu mencerminkan pengaruh Asean yang semakin meningkat di mata dunia, khususnya Amerika yang kian bimbang terhadap pengaruh China di rantau ini.
“Secara tidak langsung, ia memberi manfaat besar kepada Asean,” kata pengamat dari Universiti Utara Malaysia (UUM) itu kepada Berita Harian (BH).
Beliau berkata berbeza dengan tahun sebelumnya di bawah Laos yang tidak menunjukkan perkembangan ketara, kepimpinan Malaysia berjaya membawa Asean ke tahap lebih tinggi – menjadi pemangkin kepada pelaburan baru dan pengukuhan hubungan diplomatik serantau.
Menurut Profesor Dr Marthada, antara kejayaan utama Asean Kuala Lumpur ialah penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota Asean ke-11, satu langkah bersejarah yang tertangguh selama bertahun-tahun.
“Kejayaan meredakan konflik Thailand-Kemboja secara diplomasi dan mengusulkan penyelesaian sementara konflik serta krisis kemanusiaan di Myanmar juga menunjukkan Malaysia bukan saja menjadi tuan rumah Asean, bahkan juga pemacu agenda serantau,” katanya.
Beliau menambah, kejayaan Malaysia sebagai tuan rumah Asean akan menjadi penanda aras kepada negara anggota lain yang bakal mengambil alih kepengerusian selepas ini.
“Kepimpinan Datuk Anwar bukan hanya menyerlah dalam diplomasi, bahkan berjaya mengangkat martabat Asean ke peringkat lebih tinggi, menjadikan Malaysia contoh kepimpinan serantau yang berkesan,” katanya.
Datuk Anwar yang pernah dipenjarakan dan mencapai cita-cita politiknya untuk menjadi perdana menteri selepas liku perjuangan 25 tahun, terus bergerak laju dengan menggariskan agenda reformasi dan pembaharuan, terutama dalam menekankan isu tatakelola pentadbiran kerajaan serta usaha membanteras rasuah.
Hasilnya, dalam tekad beliau itu, kerajaan berjaya mengutip RM15.5 bilion ($4.86 bilion) pada 2024 dan 2025 setakat ini, hasil kegiatan penyelewengan, rasuah dan ketirisan yang sebahagiannya membarah sejak 20 tahun lalu, termasuk dalam kalangan pemimpin politik dan orang kenamaan.
“Yang disasarkan itu juga bukan saja ‘ikan bilis’, bahkan juga orang kaya dan mereka yang terlibat didakwa di mahkamah dan harta mereka dirampas, lalu dipulangkan kepada kerajaan,” kata Profesor Dr Marthada.
Antara kes berprofil tinggi yang mencuri perhatian dalam dan luar negara ialah siasatan serta dakwaan berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dua mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Berdasarkan laporan Tinjauan Fiskal 2024 yang diterbitkan Kementerian Kewangan, jumlah perbelanjaan subsidi Malaysia melonjak daripada RM14.2 bilion pada 2010 kepada anggaran RM70.3 bilion pada 2024 dengan peruntukan terbesar adalah untuk subsidi bahan api, yang berjumlah RM52 bilion atau 74 peratus daripada jumlah subsidi.
Profesor Dr Marthada berkata keberanian Datuk Anwar melaksanakan beberapa dasar tertangguh yang sekian lama dianggap ‘sukar disentuh’ wajar mendapat pujian, termasuk penyasaran subsidi diesel dan petrol RON95, pengukuhan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), serta penekanan terhadap tatakelola kerajaan yang lebih telus.
Malah pada 2025, Datuk Anwar turut mengotakan janji pilihan raya yang sekian lama dilaungkan ketika menjadi pembangkang, apabila kerajaan Madani menurunkan harga petrol RON95 daripada RM2.05 seliter kepada RM1.99 seliter khusus buat warga Malaysia bermula akhir September.
“Penyasaran subsidi bahan api sudah lama dibincangkan oleh beberapa kerajaan terdahulu, tetapi tiada yang benar-benar berani melaksanakannya kerana bimbang risiko politik.
“Datuk Anwar mengambil langkah itu demi memastikan hasil negara tidak terus bocor kepada warga asing dan pihak yang menyeleweng,” katanya.
Beliau berkata, pengukuhan SSPA turut menjadi satu lonjakan besar kerana melibatkan peruntukan berbilion ringgit dengan kali terakhir kajian mengenainya dilakukan adalah pada era pentadbiran Perdana Menteri kelima, Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi, sekitar 2007.
“Ini satu pembaharuan besar kerana SSPA baru bukan sekadar menawarkan kenaikan gaji kepada penjawat awam, bahkan juga menetapkan tindakan terhadap mereka yang memperoleh markah prestasi 70 peratus ke bawah selama tiga tahun berturut-turut.
“Jadi ia bukan sekadar memberi insentif, tetapi memastikan penjawat awam yang tidak menunjukkan prestasi sewajarnya akan diambil tindakan.
“Ia penting kerana sebelum ini sektor perkhidmatan awam sering dikritik tidak bergerak seiring sektor swasta, kurang daya saing dan perlu lebih produktif,” katanya.
Meskipun kepimpinan Datuk Anwar dianggap menyerlah, Profesor Dr Marthada mengakui ada kelemahan yang perlu diperbaiki dan ia termasuk barisan Kabinet yang pada pandangannya memerlukan perubahan demi menghadapi tempoh kritikal menjelang PRU16 akan datang.
Beliau menyedari kritikan terhadap Kabinet Datuk Anwar antaranya dalam isu panas melibatkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, dengan isu etika dan tatakelola, dan Menteri Pendidikan yang dikatakan gagal mengurus krisis dengan baik lantaran beberapa kes jenayah melibatkan pelajar sekolah.
“Kurang pengalaman dan latar belakang yang kurang bersesuaian mungkin satu punca kelemahan ini. Jika ada rombakan, ia perlu dibuat dengan lebih berhati-hati, mengambil kira pandangan dan hala tuju yang lebih jelas.
“Apapun, tiga tahun pertama belum fasa kritikal bagi seorang Perdana Menteri. Yang lebih penting ialah dua tahun mendatang, iaitu tempoh persediaan menuju PRU dan strategi perlu bermula sekarang,” katanya.
Sementara itu, pakar ekonomi, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata tiga tahun pertama pentadbiran Datuk Anwar menzahirkan beberapa keputusan ekonomi besar yang dianggap berani, namun kelemahan ketara kerajaan khususnya dari segi komunikasi dasar kepada rakyat, masih membayangi kejayaan itu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd itu berkata kepimpinan Datuk Anwar teruji dalam suasana sejagat yang mencabar, apatah lagi selepas Encik Trump kembali memimpin Amerika pada awal 2025 dan memperkenalkan tarif import.
Namun, sebelum pergolakan ekonomi sejagat itu tercetus, katanya kerajaan sudah melaksanakan langkah konsolidasi fiskal penting, yang lazimnya sukar dipersetujui dalam konteks politik Malaysia.
Menurut Dr Afzanizam, antara dasar terpenting ialah pengenalan cukai baru seperti Cukai Barangan Bernilai Rendah (LVG); Cukai Perkhidmatan Digital (DST) dan peluasan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta rasionalisasi subsidi secara berperingkat.
Jelasnya, langkah tidak popular itu telah memberi dua isyarat besar kepada pelabur, iaitu kerajaan komited memperkukuh disiplin fiskal dan bersedia mengambil keputusan sukar demi kestabilan jangka panjang.
“Kita dapat lihat keyakinan pasaran mula meningkat.
“Nilai ringgit menunjukkan pengukuhan dan hasil penjimatan membolehkan kerajaan meningkatkan bantuan tunai seperti Sumbangan Asas Rahmah,” katanya sambil menyebut peruntukan bantuan itu meningkat daripada RM10 bilion pada 2024 kepada RM15 bilion pada 2025.
Namun, Dr Afzanizam mengingatkan bahawa prospek pertumbuhan ekonomi negara pada 2026 dijangka perlahan, antara 4.0 dengan 4.5 peratus berikutan pelaksanaan penuh tarif import Amerika terhadap Malaysia.
“Kesan sebenar hanya akan dirasai pada 2025 apabila tarif dilaksana sepenuhnya dan ia satu cabaran kepada kerajaan Madani,” jelasnya.
Walaupun pentadbiran Datuk Anwar dilihat berjaya mengekalkan imbangan antara reformasi fiskal dengan keperluan politik, Dr Afzanizam menegaskan terdapat satu kelemahan ketara yang perlu ditangani segera – komunikasi kerajaan yang tidak sekata.
“Isu seperti Perjanjian Timbal Balik dengan Amerika menunjukkan bagaimana maklumat yang tidak tepat boleh menimbulkan keresahan. Kerajaan perlu memperkemas strategi komunikasi, terutama bagi menjangkau kelompok berbeza latar belakang,” katanya.
Bagi dua tahun terakhir sebelum PRU16, Dr Afzanizam berharap kerajaan memberi tumpuan kepada kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, termasuk mengurangkan birokrasi di peringkat Persekutuan, negeri dan PBT, serta segera memperluas sistem subsidi bersasar agar agihan lebih tepat dan tersusun.
“Keutamaan kini ialah memastikan pertumbuhan bermutu dan kecekapan ekonomi.
“Banyak perkara sukar telah berjaya dibuat dan itu wajar diiktiraf. Tetapi kestabilan jangka panjang memerlukan komunikasi lebih mantap dan struktur pentadbiran yang lebih cekap,” katanya.
Walaupun Datuk Anwar yang tersenarai di tempat ke-10 pemimpin Muslim paling berpengaruh di dunia disegani di pentas antarabangsa, beliau masih berdepan citra politik Malaysia yang unik.
Sebahagian rakyat terus meragui kepimpinannya.
Ribuan turun ke bantahan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, pada Julai lalu, menyertai pembangkang mendesak beliau melepaskan jawatan Perdana Menteri, atas alasan beliau gagal menyelami keperitan rakyat terutama dalam mendepani kos sara hidup yang kian melonjak.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Faisal Ismail Aziz, mendakwa Datuk Anwar semakin hilang kepercayaan rakyat apabila dapatan kajian Institut Masa Hadapan Malaysia (Masa), bagi calon Perdana Menteri dalam PRU16 memihak kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Sebanyak 33 peratus responden memilih Tan Sri Muhyiddin, manakala hanya 25 peratus memilih Datuk Anwar.
“Daripada segi kepuasan terhadap prestasi pula, 41 peratus berpuas hati dengan Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Anwar hanya memperoleh 33 peratus,” katanya dalam hantaran di Facebook baru-baru ini.
Beliau turut mendakwa prestasi ekonomi di bawah pentadbiran Datuk Anwar merosot, berdasarkan data, Trading Economics, imbangan perdagangan pada Mei 2025 menjunam kepada hanya RM800 juta, terendah dalam tempoh 10 tahun.
“Dengan hanya sekitar 15 tahun pengalaman dalam pentadbiran kerajaan, Datuk Anwar terus terperangkap dalam retorik, populisme dan dasar yang membebankan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, warga Malaysia yang ditemui BH rata-rata memberi pandangan bercampur-campur terhadap pentadbiran Datuk Anwar.
Ada yang memuji langkah kerajaan dalam melaksanakan subsidi bersasar, meningkatkan insentif kepada kakitangan awam, serta menekankan tadbir urus yang lebih telus.
Namun, tidak kurang juga yang melahirkan kebimbangan terhadap isu kos sara hidup, kelewatan sesetengah dasar, serta persepsi bahawa kepimpinan Ahli Parlimen Tambun (Perak) itu, kurang menonjol di peringkat domestik berbanding pengiktirafan antarabangsa yang diterimanya.
Pegawai bank, Encik Reezwan Hussain, 47 tahun, berpendapat selain menekankan pembangunan ekonomi, Datuk Anwar digesa memastikan kestabilan kaum di Malaysia serta melantik pemimpin berwibawa dalam Kabinet bagi prestasi kerajaan yang lebih baik.
“Bagi saya, barisan Kabinet sekarang adalah antara yang paling lemah dalam sejarah kerajaan. Apa yang lebih membimbangkan ialah kestabilan kaum semakin tergugat dan sentimen perkauman tidak terkawal, yang berpotensi menjejaskan keharmonian Malaysia,” katanya.
Pengajar klinikal, Cik Rohani Md Ninggal, 50 tahun, memuji kecekapan kerajaan Datuk Anwar dalam membanteras rasuah, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan dan memastikan wang negara disalurkan kepada pihak yang sepatutnya.
“Saya kagumi dedikasi pentadbiran Datuk Anwar banteras rasuah. Dengan wang yang dikembalikan kepada kerajaan, hasilnya dapat memanfaatkan untuk membantu golongan memerlukan dan tujuan pembangunan negara,” katanya.
Jurujual, Encik Muhammad Nur Akif Mohd Arif, 30 tahun, pula menyifatkan kos sara hidup yang semakin melonjak mutakhir ini, memerlukan kerajaan menyusun agenda ekonomi yang boleh membantu rakyat terutama dalam kalangan penduduk kurang mampu, meningkatkan pendapatan.
“Ekonomi sekarang semakin berat dan kos hidup meningkat. Makanan semakin mahal dan dengan gaji RM2,500 sebulan, ada yang perlu ikat perut untuk tampung hidup.
“Apapun kami tetap bersyukur kerana buat kali pertama terima bantuan kerajaan (Sara) RM200 daripada kerajaan,” kata duda anak dua itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg