Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: Kerajaan sudah peroleh semula RM1b aset tambahan 1MDB

Nov 12, 2025 | 12:35 PM
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata usaha Kerajaan Malaysia memulihkan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menunjukkan perkembangan positif apabila lebih RM1 bilion ($3.14 bilion) dana berkaitan syarikat itu dipulangkan kepada negara baru-baru ini.

Datuk Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata proses pemulangan aset serta dana 1MDB masih diteruskan oleh jawatankuasa khas yang dipertanggungjawabkan termasuk kes di Switzerland dan London, Britain.

“1MDB ini pada peringkat akhir, masih ada kemasukan baru-baru ini. Saya tidak dapat teka berapa jumlahnya tetapi mencecah lebih RM1 bilion tambahan daripada dahulu.

“Proses ini (mengembalikan wang negara) masih diteruskan di Switzerland, di London dan ada jawatankuasa khas yang dipertanggungjawabkan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Parlimen pada 11 November, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Kapten (Bersara), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Perikatan Nasional - Tanjong Karang) berhubung jumlah terkini dana 1MDB yang telah dipulangkan kepada Malaysia.

Pada Januari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, hasil kerjasama dengan pelbagai pihak berkaitan di peringkat antarabangsa, antaranya Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ), sebanyak AS$20 juta (kira-kira RM90 juta) berjaya dipulangkan kepada Malaysia.

SPRM turut memaklumkan, jumlah itu tidak termasuk dana keseluruhan iaitu RM29.73 bilion yang berjaya dikembalikan sebelum ini.

Dalam pada itu, Datuk Anwar turut menegaskan, selain memberi tumpuan kepada kes 1MDB, kerajaan juga memberi tumpuan kepada usaha menumpaskan penyelewengan serta sindiket jenayah telekomunikasi, jenayah e-kewangan, e-dagang, pinjaman dan pelaburan tidak wujud selain penipuan cinta.

Mengulas mengenai aspek penguatkuasaan bagi menangani ketirisan, rasuah dan sindiket jenayah, jelas Datuk Anwar, ia sudah dipertingkatkan sejak dua tahun lalu melalui sinergi bersama pelbagai agensi berkaitan.

“Apakah penguatkuasaan dijalankan? Ya, dijalankan kalau tidak tak dapatlah RM15.5 bilion (rampasan). Ia dibuat melalui penguatkuasaan yang tegas dan berani dan setakat yang saya tahu ini paling efektif dan berkesan dalam sejarah.

“Saya belum pernah lihat (rampasan) penyeludupan dan lain-lain hingga cecah RM15.5 bilion. Sebab itu saya berikan penghargaan tinggi kepada badan yang terbabit.

“(Setakat ini) lebih 20 kes sudah didakwa tapi masih dalam proses mahkamah. Saya belum tahu statusnya tetapi ia akan ambil masa. Apakah akan didakwa sepenuhnya? Saya kata tadi fasa pertama kita sita dan rampas, fasa kedua baru disiapkan kertas pendakwaan dan akan diputuskan Peguam Negara,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg