Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump tertarik dengan Malaysia, kata Duta AS ke M’sia

Oct 28, 2025 | 10:16 AM
Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Encik Edgard D. Kagan
Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Encik Edgard D. Kagan - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Encik Edgard D Kagan, memuji Malaysia atas sambutan dan kemesraan rakyatnya terhadap Presiden Amerika, Encik Donald Trump, dan berkata lawatan itu membuka bab baru dalam hubungan antara Malaysia dengan Amerika.

“Yang paling penting ialah kita kini meningkatkan tahap hubungan ke peringkat seterusnya. Saya fikir kita melihat hubungan Amerika-Malaysia bersatu dalam beberapa bidang yang benar-benar utama,” katanya.

Encik Trump sebelum ini berada di Kuala Lumpur pada 26 Oktober untuk memuktamadkan rundingan perdagangan dan menyaksikan pemeteraian perjanjian damai Kemboja-Thailand bersempena Sidang Puncak Asean ke-47.

Bercakap pada satu sidang media pada 27 Oktober, Encik Kagan berkata Encik Trump tertarik dengan Malaysia.

“Satu perkara yang Presiden nyatakan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebelum beliau berlepas (27 Oktober) ialah beliau sangat gembira kerana seluruh dunia mendapat peluang melihat betapa hebatnya Malaysia,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata Presiden Trump tertarik dengan apa yang disaksikannya semasa lawatan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri hari pertama Sidang Puncak Asean.

Encik Kagan berkata lawatan itu menunjukkan Malaysia bukan sahaja satu destinasi hebat untuk dikunjungi, bahkan rakan kongsi yang kuat kepada Amerika.

“Saya fikir ia menunjukkan …bahawa biarpun selama beberapa tahun kita tidak sehaluan, masih ada tarikan kuat antara Amerika Syarikat dengan Malaysia,” katanya.

Encik Kagan juga berkata Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Amerika-Malaysia memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Semasa lawatan itu, Presiden Trump dan Datuk Anwar sebagai Pengerusi Asean turut menyaksikan pemeteraian Perjanjian Damai KL oleh Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, dan Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet, yang menoktahkan keganasan dalam konflik antara kedua-dua negara jiran itu.

Konflik sempadan antara kedua-dua negara merebak kepada pertempuran ketenteraan pada 24 Julai lalu sebelum Malaysia mengantara satu gencatan senjata empat hari kemudian.

Encik Kagan memuji keberanian dan tekad kedua-dua pemimpin itu untuk melakukan apa yang betul “bagi rakyat mereka, untuk ekonomi mereka, dan untuk rantau ini”.

Encik Trump berlepas dari Malaysia pada 27 Oktober dan singgah di Jepun, sebelum meneruskan lawatan ke Korea Selatan dalam jelajah diplomatiknya selama seminggu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg