KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan negara itu tidak mungkin akan selamat sekiranya tiada tindakan profesional serta tegas diambil terhadap sebarang salah laku atau rasuah.

Oleh itu, beliau mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas mengikut fakta yang jelas terhadap penjenayah dan pesalah rasuah tanpa mengira status demi menegakkan keadilan.

Datuk Anwar berkata ramai dalam kalangan rakyat resah dan mengeluh apabila siasatan kes jenayah dan rasuah mengambil masa lama, namun rakyat juga harus faham langkah itu bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan adil tanpa melindungi mana-mana pihak.

“Saya tidak mahu jadi Perdana Menteri tetapi melindungi penjenayah atau perasuah. Jadi pastikan tindakan itu profesional, adil dan tidak menghukum sebelum ada fakta dan lihat kepada sudut undang-undang.

“Saya sentuh perkara ini secara langsung dalam majlis ini kerana yang menjadi mangsa juga adalah ahli sukan yang giat dalam olahraga.

“Jadi jaminan itu penting supaya ada perasaan semua rakyat, baik ahli sukan ataupun penjawat awam bahawa ada tindakan tegas,” katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Sukan Negara 2023 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata ketua-ketua jabatan atau unit yang gagal melaporkan amalan rasuah di bahagian masing-masing mungkin kehilangan pekerjaan, malah berdepan tuduhan jenayah.

Beliau berkata itu adalah antara hukuman yang dipertimbangkan untuk menghukum mereka yang berdiam diri terhadap amalan rasuah yang dilakukan orang bawahan mereka.

“Kami mahu menekankan (keperluan) kebertanggungjawapan daripada ketua jabatan dan pegawai kanan kerajaan untuk melaporkan rasuah kepada pihak atasan dan SPRM.

“Jika diambil mudah, ia boleh menyebabkan keruntuhan pentadbiran.

“Kami mengalu-alukan cadangan Perdana Menteri dan kami akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Ketua Setiausaha Negara untuk membincangkan mekanisme pelaporan yang sesuai,” katanya, lapor The Star.

Selain tindakan tatatertib dalaman, Tan Sri Azam berkata pada masa ini terdapat peruntukan di bawah Akta SPRM, yang mana mereka yang gagal melaporkan rasuah juga boleh menghadapi tuduhan.

Beliau memetik Seksyen 25 Akta SPRM, dengan seseorang itu bertanggungjawab untuk melaporkan perbuatan rasuah kepada pihaknya.

Di bawah akta tersebut, mereka yang disabitkan bersalah boleh didenda antara RM10,000 ($2,868) dan RM100,000 atau penjara antara dua dan 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Adalah satu kesalahan kerana tidak melaporkan sebarang suapan yang ditawarkan kepada mereka atau mana-mana pegawai awam. Ia satu kesalahan jenayah dan jika didapati bersalah, ia boleh menyebabkan penamatan perkhidmatan,” katanya.