SEREMBAN: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa beliau mahu Encik Anthony Loke kekal sebagai Menteri Pengangkutan.

Datuk Anwar berkata beliau sukar menerima hasrat Encik Loke untuk berundur, walaupun Ahli Parlimen (AP) Seremban itu mempunyai sebab tersendiri untuk berbuat demikian.

“Saya faham (justifikasi Loke), namun saya telah memberitahunya bahawa tiada sebab yang harus mengatasi tugas dan tanggungjawab kita untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.

“Beliau kini sedang bercuti, dan saya mahu memintanya kembali menjalankan tugas secepat mungkin,” katanya ketika merasmikan program Yakin Madani peringkat negeri di Kompleks Belia dan Sukan Paroi pada 28 November.

Datuk Anwar berkata tanggungjawab berkhidmat kepada rakyat mesti diutamakan berbanding alasan peribadi, terutamanya memandangkan prestasi kerja Encik Loke yang membanggakan dan kepimpinannya terhadap sebuah kementerian utama.

“Prestasinya baik dan membanggakan. Lebih-lebih lagi, beliau mengetuai sebuah kementerian penting yang menghubungkan rakyat melalui komunikasi dan pengangkutan,” katanya.

Datuk Anwar turut mendedahkan bahawa beliau sendiri mengarahkan Encik Loke hadir pada acara itu walaupun sedang bercuti kerana Kementerian Pengangkutan merupakan penganjur bersama program tersebut dengan kerajaan Negeri Sembilan.

Encik Loke, yang juga setiausaha agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri pengangkutan pada 10 November, sebagai memprotes keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan bekas perdana menteri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjaranya dalam kes SRC International di bawah tahanan rumah. – Agensi berita.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.