PUTRAJAYA: Malaysia akan menerajui fasa pertama pelan integrasi grid tenaga serantau yang bercita-cita tinggi, bermula dengan ketersambungan yang berdaya maju dari segi ekonomi antara Vietnam, Malaysia dan Singapura.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dalam fasa pertama, apa yang dianggap lebih berdaya maju daripada segi ekonomi ialah untuk menghubungkan Vietnam ke Malaysia utara dan selatan, dan kemudiannya disambungkan ke Singapura melalui Grid Nasional.
“Petronas (Petroliam Nasional Bhd) mungkin diberi peranan utama dalam melaksanakan segmen projek itu,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Bagi fasa akan datang, Datuk Anwar berkata grid serantau itu akan diperluaskan merangkumi Kemboja, Thailand dan Sarawak – dengan memanfaatkan kekuatan negeri di Malaysia Timur itu dalam sumber tenaga alternatif seperti gas.
“Ini membuka kemungkinan untuk membekalkan tenaga ke Kalimantan, yang mana terletaknya ibu kota baru Indonesia dan juga ke selatan Filipina,” katanya.
Datuk Anwar berkata demikian semasa sesi taklimat antaranya berkaitan Sidang Kemuncak Asean 2025 bersama ketua-ketua pengarang media tempatan dan antarabangsa di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, pada 21 Mei.
Acara itu dihadiri oleh sejumlah 83 wakil media, merangkumi 42 daripada media tempatan, 18 media antarabangsa, dan 23 lagi yang membuat liputan atas tugasan khas.
Datuk Anwar menjelaskan bahawa rancangan itu menekankan kepimpinan Malaysia dalam memacu kerjasama dan integrasi tenaga Asean, sejajar dengan matlamat Kepengerusian Asean 2025 yang merangkumi daya tahan ekonomi, ketersambungan serantau dan pembangunan mampan.
Pemangkin utama bagi visi tenaga yang diperluaskan itu, kata Datuk Anwar adalah penyelesaian isu bidang kuasa yang telah lama wujud antara syarikat minyak nasional, Petronas, dengan syarikat tenaga negeri Sarawak, Petroleum Sarawak Bhd (Petros).
Dalam perkembangan lain, Datuk Anwar berkata pemilihan Proton e.MAS 7 sebagai kenderaan rasmi negara sempena Kepengerusian Asean 2025, mampu menjadi pemangkin kepada promosi dan pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) Malaysia.
Beliau berkata perkara itu khususnya ketika Malaysia menjadi tuan rumah untuk Sidang Kemuncak Asean Ke-46, yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Beliau berkata pemilihan itu bukan sahaja mencerminkan kemajuan teknologi tempatan, tetapi juga keyakinan terhadap kebolehan anak tempatan dalam menerajui industri automotif masa hadapan.
“Inisiatif ini juga seiring dengan komitmen Malaysia ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun-tahun mendatang, selaras dengan agenda kelestarian dan peralihan tenaga hijau negara di bawah kerangka Malaysia Madani,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg