Negara anggota Asean perlu merancakkan lagi usaha penyepaduan, mengukuhkan ekonomi dan keterhubungannya, lebih-lebih lagi dalam persekitaran dunia dengan pertikaian lebih hebat, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
Salah satu cara negara anggota boleh melakukannya adalah melalui Persetujuan Rangka Kerja Ekonomi Digital (Defa) Asean, yang rundingannya dijangka selesai pada 2025, tambah beliau, bagi memperhebatkan integrasi serantau.
Beliau berkongsi demikian kepada pihak media bagi merumuskan Rahat Menteri Luar Asean di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi pada 19 Januari, yang berlangsung selama dua hari bermula 18 Januari.
Defa yang disepakati Asean pada September 2023 bertujuan menjalinkan kerjasama digital lebih kukuh antara anggota untuk penyepaduan digital serantau.
Dr Balakrishnan berkata: “Kita kini melangkah dalam dunia di mana akan terdapat pertikaian yang lebih hebat, bukan sahaja antara kuasa besar, malah antara kuasa pertengahan.
“Kita juga melihat dunia di mana terdapat penolakan terhadap perdagangan bebas dan integrasi ekonomi. (Kini) dunia lebih bersifat perlindungan dan nasionalis.
“Ini, jelas sekali, adalah bertentangan daripada model pembangunan yang telah dilalui oleh Asia Tenggara.”
Oleh demikian, Asean tidak dapat mengawal agenda kuasa besar tetapi dapat “tumpu pada penyepaduan, mengukuhkan ekonomi dan keterhubungan” melalui beberapa usaha kukuh seperti Defa dan pembangunan grid kuasa Asean.
Menyentuh mengenai grid kuasa bersama ini, Dr Balakrishnan berkata projek sedemikian memastikan kesinambungan tenaga merentasi negara anggota.
Beliau menambah negara anggota mencatatkan kemajuan dalam rundingan pembangunan grid kuasa bersama itu dan ia sedang membincangkan pembangunan rangkaian semasa ke arah sistem grid kuasa Asia Tenggara yang bersepadu sepenuhnya.
Hal sedemikian, menurutnya, membolehkan perkongsian tenaga dan meningkatkan perdagangan elektrik rentas sempadan.
“Kita mempunyai komitmen kolektif untuk menjadikan sistem grid elektrik lebih stabil, lebih kos efektif dan lebih mesra alam.
“Dan kita tahu dalam mereka bentuk sistem ini, lebih banyak sistem berbeza dapat disepadukan secara berhati-hati dan dengan cara berstruktur, ianya lebih baik,” ujar beliau.
Dr Balakrishnan menambah projek jangka panjang ini bakal menjadi contoh bagi Asean membuktikan ia boleh mengambil pendekatan kolektif dalam menyelesaikan sesuatu, yang memerlukan anggota mempunyai “rejim kawal selia” yang boleh dipercayai dan hubungan diplomatik baik.
“Itulah sebabnya saya memandangnya sebagai projek penting. Saya melihat ini sebagai ikon penting integrasi Asean dan potensi Asean untuk masa depan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Dr Balakrishnan turut menyatakan bahawa tiada huraian disepakati berkenaan krisis di Myanmar sejak rampasan kuasa oleh pihak tentera pada Februari 2021 daripada pemerintah yang dipilih secara demokratik di negara itu.
Beliau menekankan bahawa Myanmar masih merupakan anggota penting dalam Asean tetapi berharap kemajuan dapat dicapai, seperti yang termeterai dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara yang disepakati anggota Asean.
Dalam satu kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 18 Januari, rahat tersebut ialah mesyuarat peringkat tinggi pertama yang dianjurkan Malaysia sebagai Pengerusi Asean bagi 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kelestarian’.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg