Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: Penyasaran subsidi diesel perlu untuk selamatkan M’sia

Jun 10, 2024 | 4:52 PM
Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Perlis, Norazah Jaapar (dua, kiri) dalam tinjauan Penguatkuasaan Arahan Baharu di bawah Ops Tiris 3.0 dan Penguatkuasaan Ops Kesan 2.0 di ICQS Padang Besar di sini berikutan pengumuman pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia yang bermula 10 Jun
Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Perlis, Norazah Jaapar (dua, kiri) dalam tinjauan Penguatkuasaan Arahan Baharu di bawah Ops Tiris 3.0 dan Penguatkuasaan Ops Kesan 2.0 di ICQS Padang Besar di sini berikutan pengumuman pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia yang bermula 10 Jun - Foto BERNAMA

 Langkah kerajaan Malaysia melaksanakan penyasaran subsidi diesel dengan menetapkan harga bahan api itu pada kadar RM3.35 ($0.96) seliter bermula 10 Jun, adalah sebahagian usaha untuk menyelamatkan negara daripada kerugian akibat ketirisan subsidi diesel.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan semua Perdana Menteri sebelum ini bersetuju dengan penyasaran subsidi diesel, namun tiada keberanian dan tekad politik untuk melaksanakannya kerana ia keputusan tidak popular.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata Kerajaan Perpaduan tiada pilihan dan perlu mengambil tindakan tegas melaksanakan penyasaran subsidi untuk menyelamatkan negara daripada menanggung kerugian akibat ketirisan yang berpanjangan sejak sekian lama.

“Kita terpaksa ambil beberapa tindakan yang tidak popular (penyasaran subsidi diesel) untuk selamatkan negara. Siapa mahu penyasaran subsidi ini? Kena tahu bahawa apa pun yang kita (kerajaan) lakukan, kita akan dihentam habis-habisan dengan segala fitnah dan penipuan.

“Saya lihat (yang) pakai songkok, serban, jubah, tetapi tipu terus menerus, padahal kita beritahu, penyasaran subsidi (ini) semua Perdana Menteri sebelum ini sudah setuju, cuma tidak ada tekad politik untuk melaksanakan kerana risikonya ada.

“Tetapi untuk selamatkan negara, kita (kerajaan) tidak ada pilihan,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada 10 Jun.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada 9 Jun memaklumkan, harga diesel tanpa subsidi akan dijual pada kadar RM3.35 seliter oleh semua stesen minyak runcit di seluruh Semenanjung Malaysia, bermula 10 Jun.

Beliau berkata kemas kini harga diesel tanpa subsidi itu sama ada berubah atau kekal akan diumumkan secara mingguan pada setiap Rabu seperti amalan semasa.

Kata Datuk Amir Hamzah dengan penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar, ia dapat memberikan penjimatan RM4 bilion setahun kepada kerajaan, di samping dapat mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.

Namun penyasaran itu tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak.

Pengapungan harga diesel itu menyaksikan kerajaan menamatkan penjualan diesel bersubsidi pada harga RM2.15/liter sebelum ini.

Melalui pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, beberapa sektor masih layak menikmati harga diesel pada kadar RM2.15/liter, iaitu menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 yang menggunakan kaedah ‘fleet card’ bagi kenderaan logistik berkelayakan untuk membendung kesan terhadap harga barangan pengguna.

Selain itu, SKDS 1.0 bagi kenderaan pengangkutan awam darat termasuk bas sekolah, bas ekspres, ambulans dan bomba kekal pada harga RM 1.88 seliter dan diesel bersubsidi untuk nelayan kekal pada harga RM1.65 seliter.

Kerajaan Malaysia berbelanja sebanyak RM14.3 bilion untuk subsidi diesel pada tahun 2023.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg