KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menanggung kos subsidi diesel melebihi RM1 bilion ($290 juta) sebulan, membabitkan kerugian akibat ketirisan mencecah RM4.5 juta sehari, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Menurutnya, jurang perbezaan daripada harga pasaran telah mendorong kegiatan penyeludupan selama bertahun-tahun ke negara jiran.
“Ia membenarkan segmen besar sektor komersial meningkatkan keuntungan hasil daripada jualan diesel murah, yang asalnya mereka tidak layak terima.
“Pelaksanaan subsidi bersasar untuk diesel adalah antara langkah pembaharuan utama di bawah rangka kerja Ekonomi Madani,” katanya, lapor The Star.
Beliau berkata pembaharuan itu juga bertujuan memastikan pengurusan fiskal yang mampan dan menangani isu ketirisan sistem serius, tanpa menjejas kebajikan rakyat.
“Kita harus diingatkan, subsidi menyeluruh tidak mampan dalam jangka masa panjang, ia perlu digunakan sebagai alat untuk membantu kumpulan paling terjejas dalam masyarakat,” tambahnya.
Jelasnya, Kementerian Kewangan ketika ini sedang bekerja rapat dengan kementerian berkaitan untuk memperhalusi mekanisme bagi memastikan mereka yang layak menerima subsidi.
Rasionalisasi subsidi diesel akan dilaksanakan di semenanjung terlebih dahulu, sementara di Sabah dan Sarawak dilaksanakan kemudian.
Bagaimanapun beliau tidak menyatakan tarikh tepat pelaksanaan rasionalisasi subsidi tersebut.
Bagi mengelak sebarang kenaikan drastik kos barangan dan perkhidmatan di semenanjung, kerajaan bakal menyediakan subsidi diesel kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel merangkumi 10 jenis pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan penghantaran barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Pada 21 Mei, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam Perutusan Negara memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi ke atas bahan api diesel yang hanya melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata keputusan itu tidak melibatkan pengguna Sabah dan Sarawak kerana penduduk di sana kebanyakannya menggunakan diesel untuk urusan harian.
Usaha melaksanakan penyasaran subsidi petrol dan diesel telah dimulakan Kerajaan Perpaduan sejak 2023 bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan dan mengelakkan ketirisan dengan langkah melaksanakan Pangkalan Data Utama (Padu) sebagai antara satu mekanisme pelaksanaannya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg