KUALA LUMPUR: Perbezaan pandangan atau pendekatan antara kementerian tidak mencerminkan perpecahan dalam kerajaan di Malaysia.

Sebaliknya Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan, ia adalah sebahagian daripada proses perbincangan dan pertimbangan dasar yang mengambil kira tanggungjawab, bidang kuasa serta keutamaan masing-masing, demi memastikan agenda kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Kata beliau kerajaan sentiasa memastikan penyelarasan antara kementerian dilaksanakan secara teratur bagi menjamin keselarasan dasar, mengelakkan pertindihan fungsi dan memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan kepentingan rakyat, keutamaan pembangunan negara serta kemampuan kewangan kerajaan.

“Pada masa sama, prestasi ekonomi negara terus dipantau secara berterusan berdasarkan data dan petunjuk ekonomi semasa.

“Ia bagi menilai keberkesanan dasar yang dilaksanakan, selain memastikan daya tahan ekonomi negara terus diperkukuh dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi sejagat,” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Dewan Rakyat, pada 4 November.

Datuk Anwar menjawab soalan Ahli Parlimen (AP) Larut dari Perikatan Nasional (PN) merangkap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Datuk Hamzah meminta penjelasan adakah percanggahan terbuka antara Kementerian Kewangan yang diterajui Datuk Anwar dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pimpinan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menunjukkan wujudnya perpecahan dalam kerajaan serta siapa yang menentukan pendirian rasmi kerajaan.

Datuk Anwar berkata bagi memastikan tadbir urus yang berkesan, setiap dasar dan keputusan kerajaan hendaklah melalui proses pertimbangan serta penyelarasan yang sewajarnya.

“Perkara yang memerlukan keputusan kolektif akan dibawa untuk pertimbangan dan persetujuan Jemaah Menteri, selaras dengan prinsip tanggungjawab bersama Jemaah Menteri.

“Sehubungan itu, kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama antara kementerian, meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar serta memantau pencapaian setiap inisiatif.

“Ia bagi memastikan keputusan yang dibuat diterjemahkan kepada hasil yang nyata, mampan dan memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.

Sebelum ini, AP Bagan dari Pakatan Harapan (PH), Encik Lim Guan Eng, mempersoalkan perbelanjaan KKDW bagi projek Jalan Luar Bandar (JALB) yang didakwa melebihi peruntukan asal sebanyak RM2.1 bilion ($660 juta) bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Datuk Zahid bagaimanapun menjelaskan bahawa peruntukan asal JALB bagi tempoh berkenaan ialah RM3.982 bilion, sebelum diselaraskan kepada RM6.143 bilion, manakala perbelanjaan sebenar berjumlah RM6.108 bilion.

Pada 29 Oktober lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, memaklumkan Kementerian Kewangan meluluskan tambahan RM500 juta kepada KKDW melalui Surat Kebenaran Berbelanja (SKB) bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kontraktor, selain Notis Perubahan (NOC) berjumlah RM491 juta yang sudah diluluskan lebih awal.