Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnwar perjelas tindakannya rujuk permohonan Najib ke Lembaga Pengampunan
Anwar perjelas tindakannya rujuk permohonan Najib ke Lembaga Pengampunan
ALOR GAJAH (Melaka): Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan bahawa tindakannya membawa permohonan pengampunan Encik Najib Tun Razak, ke Lembaga Pengampunan untuk pertimbangan pada 2023 adalah bagi memastikan hak perlembagaan bekas pemimpin itu tidak dinafikan.
Menurutnya, setiap banduan mempunyai hak mengemukakan rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dipertimbangkan mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Saya nak jelaskan mengapa saya bawa kes Datuk Najib pada 2023 ke Lembaga Pengampunan, kerana saya sebagai seorang Perdana Menteri, tak sanggup dianggap menganiaya sesiapa.
“Dalam Perlembagaan negara kita, setiap banduan berhak mengemukakan rayuan kepada Agong untuk dipertimbangkan. Kalau saya tak bagi, (umpama) saya nafikan hak dia,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa program Pesta Melaka, Rumah Kita di Taman Melaka Perdana, Melaka, pada malam 12 November.
Datuk Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata tindakannya itu bagaimanapun menerima kritikan daripada pihak yang mendakwa beliau mengkhianati prinsip perjuangan menentang rasuah.
Menurutnya, tanggungjawab Perdana Menteri adalah memastikan permohonan berkenaan dibawa untuk pertimbangan, manakala keputusan pengampunan tertakluk kepada kuasa Agong mengikut proses yang ditetapkan.
“Kalau aku tak buat, aku khianat. Aku buat, aku khianat. Bagaimana ini?,” katanya.
Datuk Anwar turut menjelaskan bahawa dokumen sokongan, termasuk laporan perubatan, penjara dan kelakuan baik, dikemukakan dalam proses pertimbangan permohonan berkenaan.
Beliau menegaskan tindakan itu tidak bermakna kerajaan bertolak ansur terhadap pendirian memerangi rasuah dan penyelewengan.
Dalam pada itu, Datuk Anwar menafikan dakwaan beliau dan kerajaan derhaka terhadap Agong, Sultan Ibrahim dalam isu tahanan rumah Encik Najib.
Sebaliknya tegas Datuk Anwar, hubungan beliau dengan Sultan Ibrahim baik.
“Ada (pemimpin tertentu) cakap (kami) nak derhaka Agong, saya Perdana Menteri, petang tadi (12 November) Agong telefon kita hubungan baik.
“Tuanku tengok dah lama, empat tahun dah Najib di penjara, nak bagi tahanan rumah itu bukan kuasa saya, kuasa saya ikut hukum,” jelasnya.
Datuk Anwar menambah, tiada isu derhaka timbul membabitkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, yang hanya mengikut proses undang-undang bagi melaksanakan titah Agong.
“Siapa yang derhaka? Peguam Negara ambil masa sebab Peguam Negara itu jaga undang-undang. Agong titah bebaskan (dan) Peguam Negara kata ‘ya’.
“Kita ikut proses kena bawa ke mahkamah putuskan bila nak boleh, itu saja,” jelasnya.