KUALA LUMPUR: Badan Peguam Malaysia memfailkan permohonan undang-undang bagi mencabar pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, dengan alasan ia tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai asas di bawah undang-undang Malaysia.

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 12 November, membantah tindakan Badan Peguam itu untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman, bagi mencabar keputusan berhubung perintah tahanan rumah Encik Najib itu.

Peguam Kanan Persekutuan, Encik Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi, berhujah keputusan dipersoalkan Badan Peguam itu menyentuh kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, yang tidak boleh dicabar di mahkamah.

Katanya pihaknya baru sahaja menerima permohonan berkenaan dua hari lalu (10 November) melalui e-mel dan pastinya Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, membantah.

“Keputusan dipersoalkan berkaitan keputusan Agong yang mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengampunan, yang tidak boleh diadili mahkamah,” katanya ketika prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 12 November, lapor Harian Metro.

Encik Ahmad Hanir berkata oleh itu pihaknya memerlukan masa untuk meneliti permohonan terbabit sebelum mengemukakan bantahan melalui hujahan bertulis.

Sementara itu, peguam mewakili Encik Najib, Encik Muhammad Farhan Muhammad Shafee, turut memohon kebenaran untuk memfailkan hujahan bertulis.

Beliau berkata ia adalah kerana sebarang keputusan mahkamah kelak akan memberi kesan terhadap pelaksanaan tahanan rumah yang sedang dijalani anak guamnya.

Terdahulu, Badan Peguam Malaysia memohon kebenaran Mahkamah Tinggi untuk membatalkan prosiding serta keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan aturan tahanan rumah yang diberikan kepada Encik Najib pada 18 September lalu.

Badan Peguam turut memohon pelaksanaan aturan itu ditangguhkan, sekiranya kebenaran diberikan, sementara menunggu penyelesaian semakan kehakiman berkenaan.

Permohonan itu menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Penjara dan Encik Najib sebagai responden.

Dalam afidavit yang difailkan pada 11 November, Setiausaha Badan Peguam, Encik Jayabalan Raman Kutty, berkata permohonan itu membabitkan prinsip penting berkaitan hak perlembagaan dan hak asasi.

Dalam kenyataan itu, Badan Peguam berhujah tahanan rumah tidak termasuk dalam pengertian pengampunan, penangguhan pelaksanaan hukuman atau pengurangan hukuman di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Cadangan pelaksanaan ‘Tahanan Rumah’ terhadap Najib tidak termasuk dalam pengertian pengampunan, penangguhan pelaksanaan hukuman atau pengurangan hukuman, sama ada bersyarat atau sebaliknya.

“Ia tidak dibenarkan oleh Perlembagaan. Ia melangkaui bidang kuasa yang diperuntukkan Perlembagaan,” menurut kenyataan itu.

Badan Peguam berhujah tahanan rumah tidak diperuntukkan dalam undang-undang jenayah Malaysia dan aturan berkenaan dilihat dirangka khusus untuk Encik Najib.

Ia mendakwa perkara itu bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesamarataan di sisi undang-undang.

Badan guaman itu turut mempersoalkan sama ada Lembaga Pengampunan sudah menghabiskan bidang kuasanya berhubung perkara berkenaan selepas memberikan pengampunan separa kepada Encik Najib pada Januari 2024.

Keputusan itu mengurangkan hukuman penjara Encik Najib bagi kes SRC International daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta ($65.98 juta) kepada RM50 juta.

Badan Peguam berhujah pemberian tahanan rumah selepas pengurangan hukuman terdahulu adalah tidak wajar dan tidak seimbang dengan keseriusan jenayah yang dilakukan serta kesan berterusannya terhadap negara.

Dakwa badan guaman itu, Lembaga Pengampunan gagal mempertimbangkan secara sewajarnya faktor berkaitan, termasuk sabitan dan hukuman penjara Encik Najib dalam kes lain, beban kewangan akibat jenayahnya serta kesan terhadap keyakinan awam terhadap usaha membanteras rasuah.

Ia turut mendakwa permohonan Encik Najib tidak disertai pengakuan bersalah, keinsafan atau rasa kesal, sebaliknya mencabar keputusan proses kehakiman.

Encik Najib mula menjalani hukuman penjara bagi kes SRC International pada 23 Ogos 2022, selepas menghabiskan semua proses rayuan. Tempoh hukumannya dikurangkan separuh kepada enam tahun pada 2024.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 November memerintahkan bekas Presiden Umno itu menjalani baki hukuman penjaranya menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, menyusuli pengampunan bersyarat dan pembayaran penuh denda RM50 juta.