Topik diikuti
Pergi ke BHkuTahanan rumah Najib: Dibenar tinggal bersama keluarga tapi dilarang berpolitik, bermedia sosial
Tahanan rumah Najib: Dibenar tinggal bersama keluarga tapi dilarang berpolitik, bermedia sosial
Tidak boleh guna alat komunikasi, terima tamu dan hadir majlis keramaian kecuali solat Jumaat; pelanggaran akan kembalikan Najib ke penjara
Tahanan rumah Najib: Dibenar tinggal bersama keluarga tapi dilarang berpolitik, bermedia sosial
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, dibenarkan tinggal bersama isteri, anak, menantu dan cucunya sepanjang menjalani hukuman tahanan rumah.
Namun, beliau tetap tertakluk kepada sekatan ketat dan berisiko dihantar semula ke penjara jika melanggar syarat ditetapkan.
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memaklumkan di Parlimen, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang memberikan pengampunan bersyarat terhadap bekas Presiden Umno itu pada 18 September lalu, telah menetapkan empat kategori syarat.
Menurutnya, ia merangkumi tempat tinggal dan pergaulan, pergerakan dan pelawat, penggunaan telefon serta peranti telekomunikasi dan penyertaan dalam program pemulihan.
Beliau berkata syarat itu menetapkan Encik Najib tidak dibenarkan tinggal bersama individu lain selain ahli keluarganya yang dibenarkan dan tidak dibenarkan menerima tetamu, melainkan dengan izin bertulis daripada Jabatan Penjara.
Encik Najib juga tidak dibenarkan menggunakan telefon dan alat telekomunikasi selain daripada yang didaftarkan oleh Jabatan Penjara untuk membolehkan pihak berkuasa menghubungi bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
“Beliau juga tidak dibenarkan mendedahkan diri dalam mana-mana liputan media ataupun platform media sosial.
“Tidak boleh buat sebarang kenyataan atau ulasan dalam mana-mana liputan media, tidak boleh melibatkan diri dalam majlis keramaian, jauh sekali daripada mengambil bahagian dalam aktiviti politik,” katanya di Parlimen pada 12 November.
Bagaimanapun, Encik Najib diberikan pengecualian bagi menunaikan solat Jumaat dan akan dibawa ke masjid oleh Jabatan Penjara.
Datuk Saifuddin berkata selain syarat Lembaga Pengampunan, Jabatan Penjara turut dibenarkan menetapkan syarat bagi tujuan kawalan, seliaan, arahan dan tatacara mengikut Akta Penjara.
Semua syarat berkenaan telah dibacakan kepada Encik Najib pada 10 November, sebelum beliau dikeluarkan daripada Penjara Kajang, Selangor, dan dihantar ke kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur, pada hari sama.
“Syarat yang ditetapkan ini bukan hanya dibuat atau diadakan khusus untuk Datuk Najib, tetapi juga sebagai persiapan hari muka kalau ada kes yang seumpamanya,” ujarnya.
Datuk Saifuddin juga memaklumkan bahawa Encik Najib turut mengemukakan permohonan secara bertulis untuk menjadikan sebuah kediaman beralamat lain untuk beliau menjalani hukuman tahanan rumah itu.
Namun beliau berkata ia tidak dapat dipenuhi kerana keputusan Lembaga Pengampunan hanya membenarkan kediaman di Jalan Langgak Duta untuk tujuan itu.
Beliau turut menjelaskan status Encik Najib yang dipanggil prospek penjara, masih melayakkan beliau untuk menikmati kemudahan dan keistimewaan sebagai bekas Perdana Menteri.
Bagaimanapun, bayaran pencen sebagai bekas Perdana Menteri dan bekas Ahli Parlimen dihentikan buat masa ini.
Encik Najib, 73 tahun, yang juga bekas Presiden Umno, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ($66.05 juta) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2020, selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Hukuman itu kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan dan Encik Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022.
Bagaimanapun, Encik Najib diberikan pengurangan hukuman penjara kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta, hasil keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Abdullah Ahmad Shah, pada 29 Januari 2024.
Pada 18 September 2026, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-64 dipengerusikan Agong, Sultan Ibrahim. bersetuju memberikan pengampunan bersyarat kepada Encik Najib, iaitu menjelaskan denda RM50 juta bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.
Encik Najib dengan bantuan partinya, Umno, melunaskan denda itu pada 6 November, sebelum dibenarkan pulang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta, pada 10 November, untuk menjalani hukuman tahanan rumah yang dijadual berakhir pada 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, hukuman tahanan rumah hanya terpakai bagi kes SRC International dan tidak meliputi hukuman penjara 15 tahun yang dijatuhkan terhadapnya pada Disember 2025, selepas beliau disabitkan bersalah dalam satu lagi kes rasuah dan pengubahan wang haram RM2.3 bilion berkait dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).