HANGZHOU (China): Pakatan Harapan (PH) bersikap terbuka mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, termasuk dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Perdana Menteri Malaysia yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keterbukaan PH itu demi kebaikan landskap politik negara.

Katanya, dalam politik, sikap sombong dan menolak rundingan perlu dielakkan sekiranya ada pihak menyatakan kesediaan untuk berbincang.

“Saya tugaskan saudara (Datuk Seri) Amirudin Shari dan sekarang beliau berbincang. Kita ini jangan sombong. Kalau orang kata sedia bincang, kita bincang. Itu cara orang politik.

“Ada orang kata, oh ini kita tak (mahu), mana ada. Bincang permasalahannya. Setuju atau tidak setuju, itu pulang (terserah) kepada jawatankuasa,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Anwar berkata demikian kepada media Malaysia di dalam kereta api laju dari Shanghai ke Hangzhou, China, pada 23 September.

Terdahulu, Datuk Anwar menyampaikan ucaptama sempena pembukaan Sesi Pleno Persidangan WorldSkills 2026 Shanghai, yang dirasmikan Perdana Menteri China, Encik Li Qiang.

Datuk Anwar mengulas demikian ketika ditanya desas desus PH bakal menjalinkan kerjasama politik dengan Bersatu, pimpinan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bersatu adalah komponen dalam gabungan pembangkang, Perikatan Nasional (PN), bagaimanapun ketika ini mengalami ketidaktentuan hala tuju berikutan kedudukan parti itu dalam PN yang kini didominasi Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Menjelaskan lanjut, Datuk Anwar berkata setakat ini tiada sebarang ketetapan muktamad dibuat PH dalam menentukan sebarang kerjasama dengan parti lain termasuk dengan Barisan Nasional (BN).

Umno/BN adalah rakan gabungan PH dalam Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15, pada November 2022.

Dalam pada itu, Datuk Anwar menyatakan hasratnya untuk terus menumpukan usaha dan berkhidmat kepada negara sepanjang tempoh pentadbiran berbaki 15 bulan lagi selagi diberikan kesihatan yang baik.

Penegasan itu dibuat ketika Datuk Anwar berdepan desakan daripada Umno/BN untuk segera membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU ke-16.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden Umno, telah beberapa kali menzahirkan gesaan supaya PRU16 disegerakan, dengan yang terkini pada Perhimpunan Agung Umno 2026 baru-baru ini.

Menurutnya ia adalah kehendak rakyat yang mahu mandat dikembalikan untuk memilih kerajaan baharu yang stabil.