KERALAM (India): Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memilih pendekatan sederhana dalam menangani perbezaan pandangan berhubung isu kerjasama dengan Umno dalam Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata kerajaan perlu kekal stabil kerana sebarang tindakan yang terlalu keras berhubung isu berkenaan boleh membawa kerugian kepada negara.

“Saya memilih jalan yang agak sederhana kerana yang penting, kerajaan harus stabil kerana kalau tidak, banyak kerugian untuk negara kita.

“Jadi, bagi saya, itu yang penting dan saya lihat itu suara yang kita dengar, termasuk daripada Umno,” katanya pada sidang bersama media Malaysia di Calicut, Keralam, India, sebelum mengakhiri lawatan kerja ke India pada 14 September, lapor Harian Metro.

Mengulas lanjut, Datuk Anwar berkata pelbagai pandangan turut disuarakan oleh rakan dalam kalangan parti politik termasuk PH.

Namun, katanya perkara itu adalah biasa bagi sesebuah gabungan dan tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang boleh menggugat kerjasama kerajaan.

“Kita dengar semua tetapi daripada pengetahuan saya, saya tidak lihat ada masalah... ada yang kecil-kecil dan biasa... ini dalam rumah tangga pun ada masalah sedikit, ini (pula) dengan panglima-panglima, tentulah ada,” kata beliau.

Datuk Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa isu yang dibangkitkan pada Perhimpunan Agung Umno 2026 baru-baru ini, termasuk tentang kerjasama Umno dan PH dalam Kerajaan Perpaduan, yang didakwa menyimpan banyak perbezaan pendapat.

Pada perhimpunan itu juga, Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mendesak Datuk Anwar agar segera membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri Malaysia yang dipenjarakan, Encik Najib Tun Razak, yang ditangguhkan oleh Lembaga Pengampunan pada 11 September lalu, Datuk Anwar berkata keputusan itu dibuat berdasarkan prinsip negara, hukum, Perlembagaan dan nasihat berkaitan.

Menurut Datuk Anwar, peranan beliau dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan juga tertakluk kepada undang-undang dan panduan rasmi Peguam Negara.

“Namun, kita tahu juga ini budi bicara wewenang Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim) dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan dan tentunya (Yang di-Pertuan) Agong harus mengambil kira semua faktor,” katanya.

Isu pengampunan Encik Najib ujar beliau, tidak seharusnya dilihat secara peribadi, sebaliknya dinilai berdasarkan prinsip undang-undang dan tatakelola negara.

“Bagi saya, dalam soal menjalankan tugas ini, kita harus tunduk pada prinsip negara, hukum dan apa yang dipersetujui dalam Perlembagaan.

“Jadi, saya hanya beri pandangan begitu... saya tidak pernah mengambil sikap yang prasangka ataupun kebencian... tidak,” katanya.