Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: Putin sedia bantu dalam siasatan bebas MH17

PM M’sia bangkit isu penembakan pesawat MH17 semasa temu Putin
May 15, 2025 | 9:57 AM
Malaysia, Anwar Ibrahim, Russia, Vladimir Putin, MH17, Kremlin
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (depan, kanan), dalam pertemuan empat mata dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, di Kremlin pada 14 Mei. - Foto BERNAMA

MOSCOW: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Anwar Ibrahim, berkata Russia bersedia membantu dalam siasatan bebas berkaitan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine selepas Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) menyalahkan Russia atas tragedi itu.

Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, telah menegaskan untuk diadakan penyiasatan teliti terhadap kejadian itu dan ia harus bebas daripada pengaruh politik, kata Datuk Seri Anwar.

“Russia bersedia memberi kerjasama penuh untuk memastikan laporan itu lebih berwibawa,” kata Datuk Anwar kepada media Malaysia yang mengikuti lawatan rasmi beliau ke Russia di sini pada malam 14 Mei.

Kremlin menolak ketetapan ICAO minggu ini bahawa Russia bertanggungjawab atas tragedi penembakan MH17 pada 2014 yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal.

“Tentunya saya sebagai mewakili rakyat Malaysia, terutama keluarga mangsa, saya mengambil kesempatan untuk membangkitkan isu tersebut kepada Presiden Vladimir Putin semasa mengadakan rundingan dua hala,” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau diminta mengulas mengenai perkembangan terkini berhubung penemuan ICAO tersebut.

Menurut laporan ICAO, pesawat itu dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda, ke Kuala Lumpur apabila ia dikatakan ditembak jatuh oleh peluru berpandu Russia semasa terbang melintasi timur Ukraine, ketika berlakunya pertempuran antara kumpulan pemisah pro-Russia dengan tentera Ukraine.

menurut Datuk Anwar, Encik Putin mendengar dengan teliti perkara yang dibangkitkan sebelum menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Datuk Anwar menambah, Presiden Russia itu menegaskan beliau menuntut supaya siasatan rapi dan menyeluruh dijalankan selain isu itu tidak dipolitikkan.

Encik Putin berkata sejak awal lagi, Moscow memohon supaya siasatan berhubung perkara itu harus bebas dan teliti selain menegaskan bahawa Russia sedia memberikan kerjasama untuk memastikan laporan itu lebih berwibawa.

Datuk Anwar berkata beliau akan menjelaskan kepada keluarga mangsa berhubung maklum balas yang diberikan Encik Putin.

“Cuma yang saya dapat pastikan ialah beliau kata tidak benar kalau beliau tidak sedia untuk memberikan kerjasama tetapi beliau tidak mahu bekerjasama dengan mana-mana badan yang beliau atau Russia anggap sebagai tidak bebas,” katanya.

Pada 13 Mei, ICAO, sebuah majlis penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memutuskan bahawa Russia bertanggungjawab dalam kejadian yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat malang itu.

Menurut laporan itu, ICAO akan mempertimbangkan bentuk pampasan yang sesuai dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Pada November 2022, Mahkamah Belanda mensabitkan dua lelaki warga Russia dan seorang lelaki warga Ukraine secara ‘in absentia’ (tidak hadiri mahkamah) dengan kesalahan membunuh kerana peranan mereka dalam serangan itu.

Datuk Anwar tiba di Moscow untuk lawatan rasmi empat hari bermula 13 Mei dan beliau akan meneruskan segmen kedua lawatan dengan berkunjung ke Kazan, Tatarstan, pada 15 Mei.

“Tentunya saya sebagai mewakili rakyat Malaysia, terutama keluarga mangsa, mengambil kesempatan untuk membangkitkan isu tersebut kepada Presiden Vladimir Putin semasa mengadakan rundingan dua hala.”
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg