PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia telah menubuhkan Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan bagi menangani isu pertindihan fungsi dan penjimatan dana negara, kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata sekretariat itu akan bertugas serta-merta dalam usaha kerajaan melaksanakan pembaharuan membabitkan perkhidmatan awam.
“Saya sudah putuskan baru-baru ini bagi Kementerian Kewangan, mewakili kerajaan keseluruhannya membentuk jawatankuasa dua hala, jawatankuasa mengemaskini rasionalisasi badan berkanun.
“Badan berkanun itu terlalu banyak dan bertindih (fungsi), rasionalisasi maknanya kurangkan keterlanjuran dan belanja,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Jawatankuasa itu, katanya, akan memulakan kerja serta-merta dan beliau akan mengarahkan menteri Kabinet untuk memberikan kerjasama sepenuhnya.
Datuk Anwar berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Kementerian Kewangan pada 3 September.
Pada 2 September, beliau memberi gambaran bahawa September sebagai bulan pergerakan dan pembaharuan lebih besar dalam kalangan kakitangan awam.
Tegasnya, semua pihak perlu berusaha untuk meningkatkan kecekapan ke tahap 95 peratus.
Tambahnya, semua penjawat awam perlu melakukan yang terbaik dalam membawa perubahan ke arah kebaikan dan tidak sekadar kekal pada tahap sederhana.
Datuk Anwar turut mengarahkan langkah pembaharuan yang dirancang dalam pentadbiran awam dilaksanakan dengan segera bagi memastikan semua usaha dapat berjalan dengan lebih berkesan.
“Penggabungan agensi dan jabatan, itu belum berlaku dengan memuaskan, pertindihan perjawatan, kadang-kadang yang kurang perlu itu belum di tingkat yang memuaskan.
“Laporan daripada ketua jabatan, ketua pengarah, ketua unit mengenai kelembapan, kecuaian beberapa pegawai, itu pun belum di tahap memuaskan,” katanya.
Selain itu, Datuk Anwar yang juga Menteri Kewangan, melihat berlaku lebihan perbelanjaan dalam badan berkanun tertentu.
Contohnya, apabila pengerusi baru dilantik, pejabat itu sering diubah suai walaupun dalam keadaan baik.
“Nanti ada kereta untuk pengerusi. Semua ini adalah kos.
“Ada yang menganggap jawatan yang diberikan kepada mereka sebagai ganjaran dan mempamerkan kekayaan yang datang daripada dana negara. Ini mesti dihentikan,” katanya, lapor The Star.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg