KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut (para-umbilical hernia) pada 10 Ogos.

Ketua Pasukan Perubatan kepada Datuk Anwar, Datuk Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah, berkata prosedur berkenaan berjalan lancar di bawah kendalian pasukan pakar perubatan.

“Beliau kini sedang menjalani rawatan fisioterapi serta berada di bawah pemantauan pasukan pakar perubatan bagi memastikan proses pemulihan berjalan dengan baik,” katanya dalam kenyataan pada 10 Ogos, lapor Harian Metro.

Sebelum ini, Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah memaklumkan Datuk Anwar dijangka berada di bawah pemantauan pasukan perubatan selama dua hari.

“Marilah kita mendoakan supaya segala urusan pemeriksaan dan prosedur Perdana Menteri dipermudah serta dikurniakan keafiatan yang berpanjangan agar dapat kembali menjalankan tugas seperti biasa dalam masa terdekat, insya-Allah,” katanya.

Berikutan kekangan kesihatan yang memerlukan beliau menjalani pembedahan itu, Datuk Anwar tidak dapat menghadiri Persidangan Khas Parlimen mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) pada 11 Ogos.

Bagaimanapun beliau yang sedang dalam proses pemulihan akan mengikuti perbahasan RCI Tabung Haji itu secara dekat.

Tunku Nashrul berkata Datuk Anwar memohon maaf kerana tidak dapat bersama dalam sidang khas itu.

“Perdana Menteri memohon maaf kerana tidak dapat bersama dalam sidang khas bagi membahaskan Laporan RCI TH dan mendoakan agar persidangan berjalan lancar.

“Beliau akan mengikuti perbahasan secara dekat demi memastikan amanah institusi umat Islam ini terus dipelihara,” katanya dalam kenyataan pada 11 Ogos.

Laporan RCI tentang TH itu mendedahkan pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Selain itu, RCI turut mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lalu.

Antara dapatan utama RCI ialah kelemahan tadbir urus, termasuk campur tangan politik dalam pengurusan serta pengagihan keuntungan tanpa mengambil kira kesan rosot nilai dan kejatuhan nilai saksama pelaburan.