Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: Siasat, banteras sehingga akar umbi ajaran menyimpang

Sep 25, 2024 | 1:52 PM
Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) mempengerusikan mesyuarat dengan pegawai tertinggi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 24 September.
Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) mempengerusikan mesyuarat dengan pegawai tertinggi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 24 September. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kerajaannya mengambil serius perkara yang menyentuh pegangan akidah dan syariat umat Islam di negara itu.

Mengetengahkan isu mutakhir yang menyentuh soal pemikiran dan beberapa aliran menyimpang daripada fahaman Ahli Sunnah Wal Jaamah, beliau berkata ia menuntut tindakan serius dan bersepadu oleh pihak berkuasa.

Beliau menegaskan demikian dalam pertemuan dengan pegawai tertinggi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 24 September untuk berbincang beberapa perkara berkait hal ehwal Islam di Malaysia.

“Platform ini penting, mengambil kira perkembangan mutakhir, khususnya mengenai prospek ekonomi dalam sektor halal di dalam dan luar negara, yang menagih kebersamaan antara agensi Persekutuan bagi membantu merancakkan lagi industri halal Malaysia.

“Pertemuan ini turut menyentuh soal pemikiran dan beberapa aliran yang menyimpang daripada fahaman Ahli Sunnah Wal Jaamah, justeru menuntut tindakan serius dan bersepadu oleh Jakim dan agensi penguat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan pada 24 September, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Anwar menegaskan tindakan serius dan bersepadu oleh Jakim dan agensi penguat kuasa dituntut bagi menyiasat serta membanteras segala bentuk aliran yang menyimpang sehingga ke akar umbi.

“Saya tegaskan bahawa Kerajaan Madani mengambil serius perkara sebegini yang menyentuh pegangan akidah dan syariat umat Islam di Malaysia.

“Moga Allah melindungi kita dan negara ini daripada sebarang bahaya dan ancaman yang menyimpang dan boleh merosakkan pegangan sebenar akidah dan syariat kita,” katanya.

Sementara itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya proses tindakan lanjut berkaitan isu Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dipercepatkan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata perkara itu antara permintaan Sultan Sharafuddin ketika sesi pertemuan mingguan pada 24 September.

“Beliau juga berpandangan bahawa pasukan siasatan perlu lebih cekap meneliti sebarang kesalahan berkaitan isu itu yang sebahagiannya membabitkan kes jenayah.

“Tiada spesifik (isu GISBH), namun beliau meminta supaya tindakan lanjut dipercepatkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais),” ujar Datuk Amirudin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg