Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) yang mempunyai rangkaian perniagaan di 20 negara dianggarkan mempunyai pengikut mencecah 10,000 orang di Malaysia dan luar negara.
Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, bagaimanapun mengesahkan Op Global yang dilakukan pihak berkuasa sejak 11 September lalu telah melumpuhkan struktur syarikat itu dan usaha menyelamatkan ahli serta mangsa melibatkan kanak-kanak sedang giat dijalankan di seluruh negara.
Beliau berkata sehingga fasa keempat Op Global dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes tersebut, telah menyelamatkan seramai 572 mangsa.
“Bagaimanapun, kita masih belum dapat mengesahkan angka sebenar jumlah pengikut GISBH dan perkara itu masih disiasat lanjut,” katanya.
Beliau mengesahkan siasatan pihaknya sejauh ini mendapati GISBH dipercayai masih mengamalkan tarekat Aurad Muhammadiyah diamalkan kumpulan Al-Arqam yang telah diharamkan kerajaan Malaysia pada 1994.
Pelbagai penemuan baru oleh pihak berkuasa serta siri pendedahan bekas ahli GISBH membuktikan bahawa kumpulan perniagaan itu masih mengamalkan ajaran Al-Arqam yang menyeleweng.
“Daripada risikan dan keterangan yang diperoleh, GISBH ini masih mengamalkan tarekat Aurad Muhammadiyah kerana ada buku Abuya dan zikir.
“Juga terdapat barangan disyaki bertentangan agama dan berkaitan Aurad Muhammadiyah yang mana tarekat ini dimulakan Al-Arqam yang difatwakan sesat pada 1994,” katanya.
Dakwaan ajaran sesat yang menjadi pegangan GISBH semakin hangat selepas pihak berkuasa agama di Kelantan pada 21 September merampas puluhan buku berkaitan ajaran dan doktrin diperjuangkan kumpulan perniagaan bermotif agama itu.
Barangan berkenaan dipercayai cuba dihapuskan di tepi sungai berhampiran kediaman keluarga Ketua Eksekutif GISBH di Kampung Panji, Kota Bharu, Kelantan, selepas pimpinan tertinggi syarikat itu ditahan polis pada 20 September.
Ketika ini, kerajaan Perlis dan Terengganu telah memutuskan untuk memfatwakan kepercayaan dan amalan dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat Al-Arqam, manakala Kelantan dilapor bakal menyusuli dua negeri itu.
Tan Sri Razarudin berkata polis menyelamatkan empat kanak-kanak yang merupakan adik-beradik berusia enam hingga 11 tahun dalam Op Global di sebuah rumah amal di Tapah, Perak, pada 21 September lalu.
“Kesemua kanak-kanak ini telah terpisah dengan ayah mereka sejak 2021. Seorang daripada kanak-kanak tersebut merupakan individu tular yang dirotan oleh ahli GISBH,” katanya.
Tan Sri Razarudin juga mengesahkan PDRM telah membekukan keseluruhan 153 akaun bank berkait GISBH bernilai RM882,795 ($271,425) setakat ini.
PDRM menerusi Op Global telah menyerbu 280 premis, menyita 38 jenis kenderaan dianggarkan bernilai RM3.94 juta, serta 14 lot hartanah yang nilainya masih dalam siasatan.
“59 premis terbabit berjaya diserbu, manakala 221 lagi didapati kosong dipercayai selepas ditinggalkan ahli GISBH yang disyaki melarikan diri,” katanya.
Nasib lebih 300 kanak-kanak serta remaja mangsa eksploitasi dan penderaan yang diselamatkan dalam Op Global pada awal September lalu, akan mendapat pembelaan dengan diberikan pendidikan rasmi bermula 1 Oktober ini.
Ia susulan pihak berkuasa agama terutama di Selangor mengambil tindakan tegas menutup dan membatalkan pendaftaran pusat jagaan serta rangkaian sekolah yang terkait dengan GISBH.
Menteri Pendidikan, Cik Fadhlina Sidek, berkata anak-anak berkenaan akan diberi pendidikan formal mengikut tiga kohort iaitu prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.
Pada 11 September lalu, Malaysia dikejutkan dengan tindakan pasukan polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara satu hingga 17 tahun daripada 20 rumah amal didakwa kendalian GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan, yang menjadi mangsa eksploitasi, dera dan serangan seksual seperti liwat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg