Beberapa siri serbuan di rumah amal dan sekolah kendalian Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) pada 24 September membawa kepada penemuan pelbagai lagi bahan bukti terkait ajaran sesat berupa buku berkaitan Aurad Muhammadiah dan Al-Arqam.
Dalam masa yang sama, banyak premis niaga GISBH di serata Malaysia didapati tidak beroperasi, malah ada segelintir dilihat cuba ‘melenyapkan’ imej syarikat itu dengan menurunkan logo dan papan tanda GISBH di premis mereka.
Malah, ada pemilik premis dilihat menampal laporan polis mendakwa mereka tiada kaitan dengan salah laku GISBH dan tidak menggunakan ‘air berkat’ dalam masakan, sebagaimana yang tular ketika ini.
Polis Kelantan yang menjalankan operasi bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheik) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menemui bahan bacaan yang terkait ajaran sesat itu disembunyikan dalam stor di sebuah pusat penjagaan di Gong Kulim, Pasir Puteh, Kelantan.
Kehadiran polis ke rumah amal itu mendapati pusat jagaan yang difahamkan didiami lebih 60 penghuni itu kosong menyebabkan pihak berkuasa terpaksa memecahkan pintu sebelum pemeriksaan menemui pelbagai buku terbabit.
Di lokasi sama, polis turut mendapati 10 kandang kuda di lokasi berkenaan sudah kosong dipercayai sudah dilarikan pengikut kumpulan perniagaan itu, manakala lebih 500 ekor ayam ditinggalkan di dalam reban berdekatan kandang.
Serbuan besar-besaran di seluruh negara sedang giat dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengumpul bahan bukti untuk siasatan yang mengaitkan GISBH dengan tarekat Aurad Muhammadiyah dan kumpulan Al-Arqam yang difatwakan haram di Malaysia pada 1994.
Pada 23 September, Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, berkata GISBH – konglomerat yang ditubuhkan daripada serpihan Al-Arqam oleh pengasasnya, Allahyarham Ashaari Mohammad atau lebih dikenali sebagai ‘Abuya’ – dianggarkan mempunyai pengikut mencecah 10,000 orang di Malaysia dan luar negara.
Namun, GISBH yang mempunyai lebih 400 rangkaian perniagaan di 20 negara kini lumpuh selepas PDRM melakukan serbuan menerusi Op Global bermula 11 September lalu, yang membongkar pelbagai salah laku dalam syarikat berkenaan termasuk eksploitasi, serangan seksual dan penderaan kanak-kanak, penipuan kutipan dana dan lebih parah dipercayai masih mengamalkan ajaran sesat Al-Arqam.
Sementara itu di Negeri Sembilan, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menyita peralatan niaga di beberapa premis milik GISBH di Garden Homes, Seremban 2, selepas premis perniagaan itu dikesan beroperasi tanpa lesen yang sah, selain membina prasarana tambahan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).
Setiausaha MBS, Encik Mas Midyawan Yahya, berkata terdapat enam premis dikaitkan kumpulan itu, namun rekod pemeriksaan mendapati hanya satu mempunyai lesen perniagaan sah.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, pula berkata pendaftaran perniagaan GISBH boleh dibatalkan sekiranya syarikat itu terbukti serta disabitkan kesalahan atas aktiviti yang melanggar kepentingan awam dan peraturan semasa.
Beliau berkata ketika ini pihaknya masih menyemak semua pendaftaran syarikat induk bernaung di bawah GISBH serta anak syarikatnya, selain semakan aspek pematuhan GISBH kepada penghantaran laporan tahunan, penyata kewangan dan sebagainya yang berkaitan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg