KUCHING: Kerajaan Malaysia menyokong sepenuhnya perjuangan untuk memperoleh kebebasan media dalam negara, namun bertekad tidak akan bertoleransi sekiranya isu 3R iaitu agama, kaum dan raja menjadi punca kekacauan di dalam masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pengiktirafan atau kedudukan antarabangsa terhadap kebebasan media tidak menjadi pegangan dalam kerajaan pimpinannya jika terdapat isu yang boleh memporak-perandakan negara.
Justeru, beliau menegaskan, Malaysia kekal berpegang kepada prinsip untuk melindungi hak kumpulan minoriti berbanding membenarkan kebebasan media hanya untuk kematangan demokrasi.
Menurutnya, kebebasan bersuara perlu mempunyai garis waktu sejajar menuju sebuah negara yang bebas dan demokrasi sepenuhnya, lapor Berita Harian Malaysia.
“Adakah negara ini perlu menerima perkembangan perkauman dan fasisme semata-mata hanya untuk kebebasan media.
“Sudah tentu kita dikritik, malah di sini ada wartawan, Journalist Without Border, dan saya tidak kisah, penilaian kita jatuh sekali pun.
“Kerana di fikiran saya adalah lebih penting untuk menyelamatkan negara, melindungi hak majoriti dan hak minoriti berbanding mendapat pengiktirafan yang tinggi,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 di Kuching pada 27 Mei.
Sambutan Hawana adalah acara perhimpunan terbesar wartawan Malaysia dengan edisi 2024 berlangsung di Sarawak dan mengangkat tema ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’.
Laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 menunjukkan kedudukan Malaysia jatuh 34 anak tangga kepada tempat ke-107 berbanding ke-73 pada 2023 dengan markah 52.07 mata.
Menurut Datuk Anwar, beliau sendiri lama menjadi pembangkang dan menjelajah beberapa negara untuk menyatakan sokongan terhadap kebebasan media.
“Namun, saya tidak mahu berkompromi dengan isu ini dan disebabkan itu perlu ada garis di mana kebebasan bersuara harus ada,” katanya.
Sambil mengakui kebebasan media penting kerana tanpanya demokrasi tidak akan menjadi matang dan karya penerbitan hebat tidak dapat dicernakan dengan lebih baik namun ia terdapat batasan.
“Apakah batasannya, adakah kita mahu menggunakan peluang itu hanya untuk memecahkan atau mewujudkan bibit-bibit pemusnahan dan meruntuhkan negara sendiri,” katanya.
Menyentuh isu perkauman, beliau menegaskan ia tidak seharusnya menjadi salah satu permainan politik, termasuk mengeluarkan dakyah atau fatwa yang mengelirukan.
“Kita ketahui, di Sarawak terdapat majoriti mereka yang bukan Muslim, malah saya lahir di Pulau Pinang juga majoritinya bukan Islam.
“Namun muncul fatwa daripada mereka yang mendakwa parti Islam yang mengatakan tidak boleh menyokong bukan Islam atau tidak boleh memilih bukan Islam (sebagai wakil rakyat).
“Sudah tentu perkara ini tidak boleh diterima, malah saya dan Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Abang Openg) tidak boleh bertoleransi dengan perkara ini.
“Kita boleh menggunakan media tetapi tidak boleh menanam kebencian seperti menyatakan bukan Islam tidak diterima di negara ini,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg