Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: Sokongan kepada Palestin mungkin tarik perhatian Mossad

Jul 22, 2025 | 4:19 PM
Anwar Ibrahim, Palestin, sokongan, Mossad,
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak menolak sekiranya pendirian tegas negara itu terhadap keganasan di Palestin menjadikan Malaysia sebagai sasaran ejen Israel Mossad.

Datuk Anwar berkata susulan itu, kerajaan mengambil langkah tambahan melalui Kementerian Dalam Negeri bagi mengenal pasti sebarang ancaman dan meningkatkan keupayaan keselamatan negara.

“Kehadiran badan-badan perisik antarabangsa termasuk Mossad itu memang dikenal pasti.

“Taklimat terbaru yang diberi Badan Perisikan Malaysia memang mereka ambil berat betul soal ini terutama setelah terbukti kehadiran mereka, termasuk kes menggunakan pasangan suami isteri Melayu sebagai sama ada ejen ataupun yang bekerjasama dengan Mossad,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada 22 Julai, lapor Kosmo!.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (Machang), yang meminta Perdana Menteri menjelaskan langkah kerajaan dalam menghalang kemasukan ejen Mossad ke negara itu.

Dalam pada itu, Datuk Anwar memaklumkan bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza masih terhenti di sempadan berikutan sekatan berterusan oleh Israel.

Tambahnya, rombongan kedua bantuan masih belum dapat melepasi pusat pemeriksaan Israel walaupun pelbagai usaha telah dilakukan bersama Mesir, Qatar dan Jordan.

“Kita masih mempunyai peralatan dan bekalan dan saya telah beberapa kali meminta kerjasama daripada Presiden Fattah el-Sisi dari Mesir untuk membantu, tetapi Israel terus menghalang,” katanya ketika menjawab soalan AP Datuk Seri Doris Sophia Brodie (Sri Aman, Sarawak) berhubung status terkini bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza.

Sementara itu, Datuk Anwar berkata bantuan pertama berjaya memasuki wilayah tersebut, tetapi rombongan kedua masih tersekat di sempadan Israel.

Katanya percubaan Jordan untuk menghantar makanan dan bekalan perubatan turut menghadapi halangan.

“Jadi kini, dari segi bantuan kemanusiaan, kita masih mempunyai keupayaan dan dana, tetapi tidak dapat meneruskan. Lori-lori yang tersekat masih berjumlah ratusan, dan ada yang sudah rosak serta musnah,” katanya.

Beliau turut mengkritik keadaan tersebut yang dianggap zalim dan tidak berperikemanusiaan kerana Israel langsung tidak menghiraukan penderitaan orang awam, termasuk kanak-kanak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg