PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada 21 Ogos membenarkan permohonan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menangguhkan prosiding kes saman yang dikemukakan bekas pembantu penyelidik, Encik Muhammed Yusoff Rawther.
Kes saman berhubung satu insiden didakwa berlaku sebelum Datuk Anwar menjadi Perdana Menteri itu ditetapkan untuk pendengaran di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang sepatutnya bermula 16 Jun lalu tetapi diberikan penangguhan interim sebelum ini.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memerintahkan semua prosiding, termasuk perbicaraan saman di Mahkamah Tinggi, ditangguhkan hingga rayuan Datuk Anwar bagi merujuk lapan persoalan undang-undang – antaranya, sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman – diputuskan Mahkamah Persekutuan.
Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali yang membacakan keputusan sebulat suara panel, berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati wujud keadaan istimewa bagi membolehkan penangguhan berkenaan diberikan.
Beliau menjelaskan bahawa jika rayuan terbabit tidak dibenarkan, ia akan menyebabkan rayuan Datuk Anwar untuk merujuk persoalan undang-undang itu sudah tidak bermakna.
“Kami juga mendapati tidak berlaku sebarang prejudis terhadap semua pihak,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Turut bersidang ialah Hakim Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Dr Lim Hock Leng. Mahkamah kemudian menetapkan 2 September depan bagi pengurusan kes.
Sebelum ini, media melaporkan Datuk Anwar mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan beliau untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, antaranya sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.
Datuk Anwar memfailkan notis rayuan terbabit di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman di Putrajaya melalui firma guaman Tetuan Zain, Megat & Murad pada 4 Jun lalu.
Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Datuk Anwar bagi merujuk lapan persoalan undang-undang itu kepada Mahkamah Persekutuan.
Beliau memohon Mahkamah Persekutuan menjawab persoalan, termasuk sama ada mengikut Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang Perdana Menteri yang sedang memegang jawatan, menikmati kekebalan terhad daripada tindakan saman berhubung dakwaan perlakuan peribadi yang berlaku sebelum pelantikan beliau.
Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan Datuk Anwar selepas mendapati persoalan dikemukakan itu adalah bersifat spekulatif dan tidak perlu bagi pelupusan kes saman berkenaan serta tidak membabitkan tafsiran atau kesahan mana-mana peruntukan Perlembagaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg