Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar tegas akui tidak campur urusan mahkamah

Pelantikan atau penyambungan kontrak penjawat awam harus ikut prosedur ditetapkan
Jun 30, 2025 | 1:56 PM
Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Fadilah Yusof, Putrajaya
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah), bersama dua timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Datuk Seri Fadilah Yusof, pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di Putrajaya, pada 30 Jun 2025. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan beliau tidak pernah mencampuri urusan pelantikan badan kehakiman atau keputusan yang dibuat oleh mahkamah, sebaliknya kekal menghormati prinsip kebebasan institusi perundangan negara itu.

Beliau berkata segala proses berkaitan pelantikan atau penyambungan kontrak mana-mana penjawat awam termasuk hakim, harus mengikut prosedur yang ditetapkan dan tidak wajar dipengaruhi oleh kempen atau tekanan daripada mana-mana pihak.

“Penjawat awam atau hakim, mana-mana pegawai yang dalam tempoh persaraannya, ia ada prosedur.

“Apabila kita bersara, tidak sambung automatik, dan dalam keadaan ini saya ditegur, maksudnya (seperti) ada satu kempen (kata) mesti sambung (pelantikan) ini, jangan sambung (pelantikan) ini.

“Maksudnya, institusi yang sepatutnya ada integriti dan bebas itu sudah dipolitikkan dan apa yang berlaku ialah prosesnya, malah ada yang mengatakan, ini kuasa mutlak Perdana Menteri... tidak, dan kalau saudara faham Perlembagaan, sudah (tentu) tahu prosesnya,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di Putrajaya, pada 30 Jun.

Menjelaskan proses sebenar, Datuk Anwar berkata setiap pelantikan atau penyambungan perlu melalui prosedur serta proses dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong serta perbincangan di peringkat Majlis Raja-Raja.

“Jadi jangan kita main tuduh Perdana Menteri sewenang-wenangnya. Ini proses yang tertib dan termaktub dalam Perlembagaan.

“Malah, saya elakkan daripada berjumpa mana-mana hakim kanan, kecuali Ketua Hakim Negara, itu pun untuk perbincangan rasmi.

“Hubungan saya dengan institusi kehakiman selama ini baik dan profesional,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Anwar menegaskan bahawa sebarang keputusan badan kehakiman adalah hak mutlak institusi berkenaan dan beliau tidak pernah mempengaruhi sebarang keputusan.

Mengulas mengenai kes berprofil tinggi, Datuk Anwar menegaskan, kerajaan tidak pernah mencampuri sebarang keputusan mahkamah, termasuk dalam kes mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dan kes Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang dilepas dan dibebaskan (DNA) daripada tuduhan kes masing-masing.

Sementara itu, Datuk Anwar berkata kerajaan terbuka menerima kritikan berhubung peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) namun pandangan mesti dibuat berasaskan fakta.

Beliau menegaskan keputusan berhubung peluasan skop sistem percukaian dibuat tanpa membebankan majoriti rakyat.

“Jadi hal-hal ini disebar kerana kebebasan itu jadi ruang fitnah dan maki hamun.

“Saya harap saudara saudari, adik-adik kita atau anak-anak kita, tolong berikan fakta. Saya tidak ada masalah orang menegur dan mengkritik,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg