Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AGC rayu keputusan mahkamah bebaskan bekas pembantu penyelidik Anwar

Jun 16, 2025 | 3:11 PM
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan bekas pembantu penyelidiknya, Encik Muhammed Yusoff Rawther.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan bekas pembantu penyelidiknya, Encik Muhammed Yusoff Rawther. - Foto fail

Jabatan Peguam Malaysia (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Jun lalu, yang melepas dan membebaskan bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim - Encik Muhammed Yusoff Rawther daripada tuduhan mengedar dadah dan memiliki dua pistol palsu.

AGC dalam kenyataan pada 16 Jun berkata jabatan itu merujuk kepada keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Jun lalu, yang melepas dan membebaskan Encik Muhammed Yusoff tanpa dipanggil membela diri di akhir kes pendakwaan bagi tuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Aka Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan seksyen 36(1) Aka Senjata 1960 (Akta 206).

“Selepas mempertimbangkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu, jabatan ini sudah memfailkan notis rayuan hari ini (16 Jun) bagi merayu keputusan pelepasan dan pembebasan itu,” kata AGC dalam kenyataan pada 16 Jun.

Pada 12 Jun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin, melepas dan membebaskan Encik Muhammed Yusoff daripada tuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol palsu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan bagi kededua tuduhan.

Dalam penghakiman ringkasnya, Datuk Muhammad Jamil berkata mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan Encik Muhammed Yusoff, 32 tahun, mempunyai kawalan, jagaan dan pemilikan ke atas dua pistol dan dadah berkenaan.

Mengikut tuduhan, Encik Muhammed Yusoff didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan yang dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 10.15 pagi, 6 September 2024 dan memiliki dua pistol tiruan pada 9.25 pagi, 6 September tahun sama.

Dalam pada itu, Berita Harian Malaysia melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 16 Jun menetapkan 30 September depan sebagai tarikh pengurusan kes saman dikemukakan Encik Muhammad Yusoff terhadap Datuk Anwar.

Kes saman itu difailkan Encik Muhammed Yusoff pada 2021, berhubung dakwaan insiden serangan seksual yang dikatakan berlaku pada Oktober 2018 - sebelum Datuk Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Roz Mawar Rozain bagi membolehkan peguam mewakili Datuk Anwar dan Encik Muhammed Yusoff memaklumkan kepada mahkamah mengenai status rayuan, bagi merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, antaranya sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.

Terdahulu pada 10 Jun lalu Mahkamah Rayuan membenarkan Datuk Anwar menangguhkan perbicaraan kes saman itu yang sepatutnya bermula 16 Jun.

Mahkamah memerintahkan semua prosiding termasuk perbicaraan saman di Mahkamah Tinggi ditangguhkan sementara, sehingga perbicaraan penuh penangguhan didengar dan diputuskan pada 21 Julai ini di mahkamah sama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg