KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim – Encik Muhammed Yusoff Rawther – daripada tuduhan mengedar ganja dan memiliki dua pistol tiruan pada 2024 lalu.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin berkata bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie (cukup bukti) bagi kedua-dua tuduhan.
Menurutnya berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai kawalan, jagaan dan pemilikan ke atas dua pucuk pistol dan dadah berkenaan.
“Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan juga, mahkamah mendapati adalah tidak selamat untuk mahkamah ini mensabitkan tertuduh atas kesalahan-kesalahan yang dipertuduhkan terhadapnya.
“Oleh itu tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada tuduhan dihadapi tanpa perlu dipanggil membela diri,” kata hakim selepas mendengar hujahan lisan,” lapor Malaysiakini.
Encik Muhammed Yusoff didakwa atas tuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 10.15 pagi, 6 September 2024.
Beliau juga didakwa atas tuduhan memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di Kuala Lumpur pada 9.25 pagi, 6 September 2024.
Hakim Datuk Muhammad Jamil dalam penghakiman ringkasnya berkata tidak dipertikaikan bahawa semasa pemeriksaan ke atas kereta milik Encik Muhammed Yusoff, saksi pendakwaan pertama (SP1) Inspektor Wan Muhammad Wan Ali menjumpai satu beg hitam mengandungi dua pucuk pistol di tempat duduk hadapan kenderaan itu.
Datuk Muhammad Jamil berkata pemeriksaan selanjutnya ke atas kenderaan itu di IPK Kuala Lumpur oleh SP6, Koperal Amirul Azwa Zahari telah menjumpai satu bungkusan plastik hitam mengandungi dadah di tempat duduk belakang kereta.
“Memang benar kereta itu didaftarkan atas nama tertuduh dan milik tertuduh serta kunci dan alat kawalan jauh kereta dalam milikan tertuduh. Tidak dinafikan juga, tertuduh berada berhampiran kereta dan membuka pintu kereta tersebut semasa operasi dijalankan.
“Namun keterangan itu tidak boleh dibuat satu kesimpulan munasabah bahawa tertuduh mempunyai kawalan eksklusif atas kereta tersebut dan mempunyai jagaan atau kawalan terhadap dua pucuk pistol dan dadah berkenaan,” katanya.
Encik Muhammed Yusoff juga sedang menghadapi prosiding kes saman sivil difailkannya terhadap Datuk Anwar, yang menuduh Ahli Parlimen Tambun (Perak) itu melakukan serangan seksual ke atasnya pada Oktober 2018.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg