PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan sebarang peruntukan kerajaan tidak boleh diumumkan dalam tempoh pilihan raya.
Perkara itu ditegaskan beliau ketika merujuk pengumuman yang dibuat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Encik Nga Kor Ming, berhubung peruntukan RM6.13 juta ($1.83 juta) bagi 33 projek pembangunan di kawasan Parlimen Tapah di Perak, pada 10 April lalu.
Datuk Anwar mempertahankan bahawa pengumuman dibuat Encik Nga itu sebelum tarikh penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang terletak dalam Parlimen Tapah, yang berlangsung pada 12 April.
“Ia (pengumuman peruntukan itu) sebelum (tarikh) penamaan calon. Jika (diumum) selepas itu, kita beri amaran, ia tidak boleh dilakukan,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Kementerian Kewangan di Putrajaya pada 14 April, lapor Berita Harian Malaysia.
Pada 10 April lalu, Encik Nga mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM6.13 juta bagi 33 projek pembangunan dan infrastruktur awam di Parlimen Tapah.
Pengumuman itu menyebabkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) membidas tindakan Encik Nga mengumumkan peruntukan berkenaan ketika DUN Ayer Kuning yang berada dalam Parlimen Tapah akan diadakan PRK.
Bersih mendakwa penggunaan kedudukan Menteri untuk menyalurkan projek dan dana kerajaan ke kawasan yang sedang berdepan pilihan raya adalah satu bentuk penggunaan sumber kerajaan secara tidak adil.
Penamaan calon bagi PRK DUN Ayer Kuning berlangsung pada 12 April lalu, manakala hari mengundi pada 26 April ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, pada 13 April juga mengingatkan semua pihak supaya mematuhi peraturan berkempen, termasuk larangan mengumumkan peruntukan kerajaan sepanjang PRK DUN Ayer Kuning.
Katanya, pematuhan langkah itu penting bagi memastikan suasana pilihan raya berlangsung dalam keadaan adil dan harmoni, sama ada di peringkat kerajaan atau pembangkang.
Pada hari penamaan calon itu, PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti yang mengesahkan akan bertanding.
Ia membabitkan calon Barisan Nasional (BN) mewakili Kerajaan Perpaduan, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54 tahun, yang juga Setiausaha Umno Bahagian Tapah yang akan berdepan dengan calon Perikatan Nasional (PN) iaitu Pengerusi PN Tapah, Encik Abd Muhaimin Malek, 44 tahun, dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Cik Bawani KS, 40 tahun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg