Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemenangan di Nenggiri, petanda positif buat BN-Umno?

NOTA DARI KL
Aug 25, 2024 | 5:30 AM
Ketua Pemuda Umno Kelantan, Encik Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, yang berjaya merampas semula kerusi tradisi Barisan Nasional-Umno pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan, pada 17 Ogos lalu, mencuri tumpuan ketika hadir ke Persidangan Agung Umno (PAU) 2024, di Kuala Lumpur.
Ketua Pemuda Umno Kelantan, Encik Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, yang berjaya merampas semula kerusi tradisi Barisan Nasional-Umno pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan, pada 17 Ogos lalu, mencuri tumpuan ketika hadir ke Persidangan Agung Umno (PAU) 2024, di Kuala Lumpur. - Foto FACEBOOK MOHD AZMAWI FIKRI

Pilihan raya kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan, sudah melabuhkan tirainya pada 17 Ogos lalu.

Namun sehingga hari ini, kemenangan calon Barisan Nasional (BN) atau lebih spesifik lagi Umno, Encik Azmawi Fikri Abdul Ghani, dalam PRK itu masih menjadi bualan.

Kejayaan itu memberi nafas baru buat parti terbabit, selepas pelbagai siri ‘kegagalan’ direkodkan sejak melalui kekalahan kali pertama dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), dengan hanya memenangi 74 daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen.

Mengapa? Pertama, kerana umum tahu sejak PRU15 pada November 2022, prestasi Umno tambah merosot dengan hanya mampu mempertahankan 24 kerusi Parlimen, atau keseluruhannya 30 kerusi buat BN. Ia prestasi terburuk BN-Umno dalam sejarah lebih 60 tahun pemerintahan parti itu.

Kedua, kerjasama BN-Umno dengan blok Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk membentuk kerajaan campuran selepas PRU15, telah menghakis kepercayaan ahli Umno kepada parti Melayu itu.

Sebahagian besar ahli Umno tidak dapat menerima keputusan pucuk pimpinan parti itu untuk bekerjasama dengan musuh tradisi sejak berpuluh tahun lamanya, khususnya DAP.

Perikatan Nasional (PN) pula menanggung kekalahan mengejutkan menerusi calon ‘bidan terjun’ yang dipertaruhkan, Encik Mohd Rizwadi Ismail. Bidan terjun kerana bekas Timbalan Ketua Pemuda Gua Musang itu hanya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dua hari sebelum diumumkan sebagai calon PN.

PN terutama Parti Islam SeMalaysia (PAS) terpaksa menerima hakikat pahit apabila kemenangan calon Umno meningkat kepada majoriti 3,352 undi pada PRK DUN Nenggiri, jauh mengatasi kemenangan bekas penyandang kerusi itu, Encik Mohd Azizi Abu Naim daripada Bersatu, yang hanya menang dengan kelebihan 810 undi pada Pilihan Raya Negeri, Ogos 2023 lalu.

Veteran Umno yang juga mantan Ahli Parlimen (AP) Gua Musang selama lapan penggal sejak 1986, Tengku Razaleigh Hamzah, yang dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya DUN Nenggiri, meletakkan strategi bijak apabila sejak awal memberi ‘amaran’ supaya DAP tidak turun berkempen ke Nenggiri.

DUN Nenggiri adalah satu daripada empat kawasan DUN dalam Parlimen Gua Musang.

Bukan sombong, tetapi ternyata ‘otai’ politik itu sudah begitu faham dengan sentimen penduduk Nenggiri terhadap Umno, justeru sedari awal beliau ‘menyisihkan’ PH atau lebih khusus DAP daripada Umno, sepanjang kempen PRK bagi kerusi itu.

Terbukti, strategi Tengku Razaleigh dalam menarik kembali sokongan Melayu untuk mengundi BN-Umno menjadi.

Walaupun pucuk pimpinan awalnya ‘sinis’ dengan kenyataan beliau yang lebih mesra disapa Ku Li itu dengan menyatakan kesediaan membuka pintu untuk DAP datang berkempen, veteran politik itu menolak dengan baik.

Hal ini turut dipersetujui dan diakui oleh pengamat politik yang juga Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan, yang menambah bahawa strategi BN-Umno berkempen dari rumah ke rumah, berbanding PN yang lebih selesa dengan ceramah mega turut menjadi faktor kemenangan BN-Umno.

“Saya bersetuju bahawa kenyataan Ku Li telah memberi kesan dalam menarik sokongan pengundi Melayu terutama golongan muda terhadap BN-Umno. Ketegasannya yang dari awal menolak DAP menjadi.

“Secara tersiratnya Umno dan Melayu Kelantan tak mahu orang PH terutama DAP datang berkempen. Jadi ini memberi persepsi Umno sudah berani menongkah arus menegur DAP walaupun bekerjasama sebagai kerajaan di peringkat Persekutuan.

“Jadi ini yang menarik minat orang Melayu di Nenggiri. Bagi saya itu faktor utama kemenangan BN-Umno – ‘menyingkir’ atau ‘menyisihkan’ DAP,” kongsinya kepada Berita Minggu.

Sentimen positif itu katanya turut disemarakkan dengan kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bahawa Umno tidak akan menjemput mana-mana pemimpin PH atau lebih tepat DAP, untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 yang berlangsung pada 21 hingga 24 Ogos.

“Jadi ini meningkatkan keyakinan Melayu kepada Umno. Hakikatnya Umno memang boleh berbangga dengan kemenangan bergayanya di Nenggiri dengan majoriti tinggi,” katanya.

Mengulas sama ada kekalahan PN membuktikan gabungan politik dianggotai PAS, Bersatu dan Parti Gerakan itu semakin melemah dan hilang sokongan, Profesor Azmi berkata secara dasarnya ia tidak mustahil kerana DUN Nenggiri yang berada dalam negeri ditadbir PAS pun boleh mengalami kekalahan yang tidak dijangka parti itu.

“Punca kekalahan PN tidak syak lagi ialah cara PAS mengendalikan pemilihan calon. Walaupun calon itu diisytiharkan daripada Bersatu, beliau bertanding menggunakan logo PAS dan ‘komplot’ itu disusun atur oleh PAS sendiri.

“Jadi akibat daripada itu, kita dapat melihat bukan saja pola pengundian PN merosot dan pengundi memboikot PN-PAS, malahan juga sabotaj menyebabkan pengundi memilih BN-Umno,” katanya.

Pun begitu, adakah kemenangan di Nenggiri boleh meyakinkan Umno bahawa parti itu perlahan-lahan kembali meraih sokongan Melayu seperti asalnya?

Tidak mustahil. Namun, Umno harus terus bekerja lebih kuat dalam menarik keyakinan rakyat terhadap kewibawaan parti itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg