Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) antara dua parti yang telah mengesahkan akan bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Perak pada pilihan raya kecil (PRK) pada 26 April.
Ia menyusuli pengumuman calon oleh dua parti utama iaitu BN – parti pendukung kerajaan dan PN daripada blok pembangkang – sebelum hari penamaan calon pada 12 April.
BN mengumumkan Setiausaha Umno Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir, sebagai calon parti komponen itu pada PRK DUN Ayer Kuning, manakala PN pula mengetengahkan Pengerusi PN Tapah (Perak), Encik Abdul Muhaimin Malek, sebagai calonnya.
Pengumuman calon BN dibuat Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, dalam satu majlis pada 7 April, manakala calon PN diumumkan Timbalan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, pada 8 April.
Berdasarkan biodata yang dikongsi kepada media, Dr Mohamad Yusri, 54 tahun, memiliki Ijazah Doktor Falsafah (Pendidikan Islam) daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak, dan kini berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, di Perak.
Encik Abdul Muhaimin, 44 tahun, yang turut memegang jawatan sebagai Yang Di-Pertua PAS Tapah, pula adalah Pengetua Maahad Tahfiz Quran (MTQ) Ad-Din Ayer Kuning, Tapah, sejak 2015 sehingga kini dan mempunyai kelulusan daripada Institut Al Fatah Al Islamy Damascus, Syria, serta Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Kedah.
Berdasarkan rekod sebelum ini, DUN Ayer Kuning yang menjadi kerusi tradisi BN sejak kawasan pilihan raya itu diwujudkan pada 1986 iaitu pada PRU7, dilihat mampu mengekalkan kemenangan pada PRK kali ini.
Pada PRU15 pula, DUN Ayer Kuning menyaksikan pertembungan lima penjuru, iaitu BN-Umno; Pakatan Harapan (PH); PN; Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), namun kemenangan tetap berpihak kepada BN.
Datuk Saarani yakin BN mampu meraih sekurang-kurangnya 18,000 undi pada PRK DUN Ayer Kuning.
Untuk PRK pada 26 April nanti, PH mengesahkan tidak meletakkan calon, sebaliknya memberikan laluan kepada BN untuk mempertahankan kerusi terbabit, sekali gus giat menurunkan pasukan untuk membantu kempen calon BN.
Datuk Tuan Ibrahim pula meletakkan keyakinan calon PN mampu merampas kerusi DUN Ayer Kuning berdasarkan ciri calon yang memenuhi tuntutan dan kajian di semua lapisan masyarakat, selain mendapat restu Majlis Syura Ulama PAS bersama pimpinan PN.
PRK Ayer Kuning diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Kuning daripada BN-Umno, Allahyarham Ishsam Shahruddin, 58 tahun, meninggal dunia pada 22 Februari, selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
Allahyarham, yang kali pertama dipilih menjadi Adun Ayer Kuning pada PRU15 pada 2022, dikatakan rebah selepas bermain dalam pertandingan bola sepak persahabatan dengan bekas pemain empat negeri – Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Berdasarkan demografi pengundi, seramai 31,940 pengundi layak mengundi, iaitu Melayu sebanyak 55.97 peratus, Cina (22.9 peratus), India (14.38 peratus) dan Orang Asli (7.5 peratus).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg