Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar temu umat Islam di Jerman sempena Ramadan

Mar 13, 2024 | 1:23 PM
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Duta Besar Turkey ke Jerman, Encik Ahmet Basar Sen, beramah mesra dengan jemaah selepas menunaikan solat isyak dan tarawih di Masjid Sehitlik, Jerman pada 13 Mac.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Duta Besar Turkey ke Jerman, Encik Ahmet Basar Sen, beramah mesra dengan jemaah selepas menunaikan solat isyak dan tarawih di Masjid Sehitlik, Jerman pada 13 Mac. - Foto BERNAMA

BERLIN: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengambil kesempatan pada hari kedua Ramadan untuk bertemu umat Islam di Jerman.

Datuk Anwar yang tiba di Berlin, Jerman, pada Ahad untuk lawatan rasmi, menyertai jemaah di Masjid Sehitlik untuk menunaikan solat isyak dan tarawih.

Ketibaan Perdana Menteri disambut oleh Duta Besar Turkey ke Jerman, Encik Ahmet Basar Sen, sebelum meluangkan masa beramah mesra dengan komuniti Islam terbabit.

Antara isu yang dibincangkan ialah pembangunan umat Islam di Jerman dan situasi yang menimpa warga Palestin di Gaza.

“Perdana Menteri dan komuniti Islam juga menyatakan pendirian bahawa penderitaan warga Palestin ini mesti dihentikan serta-merta,” kata seorang diplomat Malaysia, lapor Berita Harian Malaysia.

Perdana Menteri juga menyampaikan sumbangan kepada komuniti Islam sempena Ramadan termasuk antaranya 12 naskhah Al-Quran dengan sebuah daripadanya adalah Cetakan Khas, sebuah lagi Terjemahan Bahasa Jerman, manakala 10 ialah Terjemahan Bahasa Inggeris kepada pengurusan masjid.

Terdapat kira-kira 5.5 juta umat Islam menetap di Jerman, yang mewakili 6.6 peratus populasi dan merupakan kumpulan agama kedua terbesar di negara itu.

Dalam lawatan rasmi itu, Malaysia berjaya merekodkan minat pelaburan baru dengan potensi nilai RM45.4 bilion ($12.93 bilion) hasil mesyuarat meja bulat dan pertemuan satu dengan satu Datuk Anwar bersama peneraju perniagaan Jerman.

Pertemuan dihadiri wakil daripada hampir 40 syarikat yang memfokuskan pelbagai bidang termasuklah pembuatan, automotif, angkasa dan farmaseutikal dan ia sebahagian daripada rangka lawatan enam hari Perdana Menteri ke Jerman.

Datuk Anwar berkata kestabilan politik Malaysia menjadi antara faktor mendorong keyakinan dan kepercayaan dalam kalangan pelabur terhadap Malaysia.

“Kita menerima sokongan dan komitmen yang sangat mengagumkan bukan sahaja dalam kalangan pemimpin politik, malah juga perniagaan kepada Malaysia yang secara relatifnya merupakan ekonomi yang lebih kecil, negara lebih kecil,” katanya.

Kata Datuk Anwar, pelaburan berpotensi itu hadir daripada pelbagai industri seperti semikonduktor, aeroangkasa, peranti perubatan, kimia dan perkhidmatan.

“Rakyat mesti mempunyai keyakinan bahawa kita akan kekal selama bertahun-tahun. Kestabilan politik amat penting untuk kerajaan membawa dasar yang betul bagi membolehkan Malaysia menerima lebih banyak pelaburan,” kata Perdana Menteri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg