PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima kunjungan hormat Presiden Terpilih Indonesia merangkap Menteri Pertahanan, Encik Prabowo Subianto, di Putrajaya, pada 4 April.

Encik Prabowo yang dalam rangka lawatan kerja sehari ke Malaysia tiba di Perdana Putra, Putrajaya, pada 9 pagi.

Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia selepas diumum sebagai pemenang rasmi Pemilihan Presiden Indonesia bagi penggal 2024-2029.

Datuk Anwar dalam hantaran di laman Facebook rasminya berkata pertemuan dengan Encik Prabowo membincangkan pelbagai perkara termasuk dalam merapatkan lagi hubungan Malaysia-Indonesia.

“Pertemuan di pejabat saya ini merupakan sebahagian daripada rangka lawatan khas sehari beliau (Encik Prabowo) ke Malaysia. Momen ini kami gunakan untuk berkongsi pengalaman dan bertukar pendapat mengenai karier masing-masing dan hala tuju seterusnya dalam merapatkan lagi hubungan Malaysia-Indonesia.

“Perjalanan karier politik kami yang hampir sama apabila diuji dengan pelbagai cabaran sebelum dilantik, juga menjadi topik perbincangan santai, selain diselang-seli dengan kisah Prabowo sewaktu beliau melanjutkan pelajaran dan pendidikan menengah di Victoria Institution (VI) Kuala Lumpur,” tulisnya.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Datuk Anwar turut mengulangi ucapan tahniah di atas kejayaan Encik Prabowo memenangi Pemilihan Presiden Indonesia dan mendoakan kejayaan buat pemimpin itu.

“Tahniah dan selamat maju jaya kepada Prabowo yang bakal dilantik sebagai Presiden Indonesia Kelapan. Semoga hubungan persahabatan Malaysia-Indonesia terus erat dan diperkukuh demi kebaikan bersama di masa hadapan,” katanya.

Terdahulu Encik Prabowo, yang diterbangkan dengan pesawat khas bersama delegasi, selamat mendarat di Pangkalan Udara Subang, Selangor, pada 10.15 malam 3 April.

Beliau turut menghadiri mesyuarat tertutup bersama Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di Kuala Lumpur pada hari sama. – Agensi berita.