Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnwar timbang adakan pilihan raya umum pada tarikh lebih awal
KUALA LUMPUR: Seruan untuk mengadakan pilihan raya umum ke-16 (PRU16) yang lebih awal akan dipertimbangkan, kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kerajaan kini mengutamakan usaha untuk memulihkan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Datuk Anwar juga berkata kerajaan persekutuan berada dalam keadaan stabil serta mempunyai mandat untuk terus mentadbir dan mengurus negara dengan berkesan, lapor The Star.
“Seperti yang saya beritahu kepada Kabinet pada 2 September, kita mempunyai mandat untuk mentadbir negara, dan untuk membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” tegasnya.
Datuk Anwar menambah usaha untuk menangani rasuah dan penyalahgunaan kuasa bukan berdasarkan kaum atau bertujuan untuk melindungi kedudukan mana-mana kumpulan tertentu.
“Sama ada mereka Melayu, Cina atau India, atau dari Sabah atau Sarawak, ini bukan soal kaum, melindungi kedudukan atau mana-mana kumpulan tertentu.
“Walaupun saya menghadapi risiko dan tekanan, saya meminta rakyat berdoa agar kita dapat meneruskan usaha kita untuk membersihkan negara,” ujar beliau.
Sementara itu, Barisan Nasional (BN) masih komited terhadap kerajaan perpaduan dan mengekalkan kestabilan negara seperti yang dijanjikan sebelum ini, kata setiausaha agungnya, Encik Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata walaupun Umno dan BN mungkin mahukan pilihan raya yang lebih awal, ia tidak bermakna “kita terlalu yakin bahawa kita akan menang dan membentuk kerajaan”.
“Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga telah berkali-kali menekankan bahawa negara ini perlu kekal stabil dan beliau telah membuat komitmen yang jelas,” tambah Encik Zambry, merujuk kepada Timbalan Perdana Menteri dan pengerusi BN.
“Persoalan menumbangkan kerajaan sekarang langsung tidak timbul kerana kita komited untuk mengekalkan kerajaan ini sehingga tarikh pilihan raya diumumkan,” katanya.
Pada 3 September, Datuk Zahid dilaporkan sebagai mengesahkan komitmen gabungan itu sekiranya PRU16 diadakan lebih awal.
Menurutnya, ini bagi membolehkan kerajaan Persekutuan memperoleh mandat baru daripada pengundi.
“Pada hemat saya, kalau PRU16 diadakan lebih awal, itu lebih baik. Jadi, mandat rakyat dapat kita peroleh.
“Tetapi andainya jika penggal ini sehingga penghujung tempoh, maka kita juga bersedia menghadapinya,” tambahnya, yang dipetik Berita Harian Malaysia dalam temu bual eksklusif bersama wartawan Media Prima Berhad (MPB) di Kuala Lumpur.
Parlimen ke-15 semasa dijangka mencapai penggal penuhnya pada 18 Disember 2027.
“
“Seperti yang saya beritahu kepada Kabinet pada 2 September, kita mempunyai mandat untuk mentadbir negara, dan untuk membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.”