Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenganalisis: BN main peranan kuasa penentu kerjasama politik di PRN Melaka
Kerjasama, persefahaman antara parti kini norma baharu politik M’sia
Barisan Nasional (BN) kini dilihat sebagai kingmaker (kuasa penentu) dalam memutuskan bentuk kerjasama parti politik bagi menghadapi pilihan raya, khususnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata penganalisis.
Penganalisis politik, Profesor Dr Zaid Ahmad, berkata selain peluang untuk menang, pendirian parti dan pemimpin menjadi antara timbang tara utama yang akan memuktamadkan kerjasama atau persefahaman yang bakal dijalin antara parti politik pada PRN Melaka yang paling hampir.
“Dalam konteks penentuan rakan kerjasama untuk PRN Melaka, BN kini menjadi kingmaker, lanjutan daripada kemenangan dalam dua PRN yang lalu iaitu Johor dan Negeri Sembilan dengan sokongan nampaknya semakin beralih kepada BN.
“Cuma dalam politik, sebarang kerjasama akhirnya ditentukan oleh pemain politik sendiri.
“Ketika itu soal sentimen jatuh nombor dua. Jadi sebarang kemungkinan boleh terjadi sama ada BN bersama Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) atau pihak lain. Sasaran masing-masing adalah untuk berada dalam kerajaan,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Ditanya mengenai sesetengah pandangan bahawa keterbukaan PH yang sebelum ini menjadi lawan BN dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan untuk menjalin kerjasama dengan BN bagi PRN Melaka sebagai langkah terdesak, Pensyarah di Kulliyyah Ilmu Pengetahuan Islam dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata kerjasama dan persefahaman antara parti adalah satu perkembangan baharu dalam politik Malaysia.
“Bagi saya, terdesak atau tidak, semua parti mesti memikirkan rakan kerjasama sekarang. Tidak ada parti yang boleh berdiri sendiri sekarang.
“Selepas tsunami politik pada 2018, landskap politik Malaysia sudah berubah di mana tiada dominasi satu parti politik disebabkan dinamik politik itu. Maknanya jika ada pihak yang berharap dapat kembali menjadi dominan seperti dulu, ia sesuatu yang sukar,” katanya.
Media Malaysia sebelum ini melaporkan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata gabungan itu terbuka untuk berbincang mengenai kemungkinan kerjasama PH dengan BN pimpinan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Malah, Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sebarang perbincangan mengenai kerjasama PH-BN bagi menghadapi PRN Melaka akan dikendalikan oleh jawatankuasa pilihan raya kedua-dua gabungan berkenaan.
Kesediaan PH untuk berunding kerjasama dengan BN pada PRN Melaka itu turut mengundang sindiran selepas PH Melaka pada 15 Julai lalu menarik sokongan terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka, selepas tidak bersetuju dengan pindaan Perlembagaan Negeri berkaitan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan.
PN pula, yang berjaya memenangi tujuh kerusi pada PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu hasil persefahaman pembahagian kerusi dengan BN, turut terbuka dengan rundingan meneruskan kerjasama dua gabungan itu pada PRN Melaka.
Datuk Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka, menyifatkan BN seperti ‘anak dara’ yang menjadi rebutan antara PH dengan PN untuk bekerjasama menghadapi PRN negeri itu.
Berikutan perkembangan itu, PAS yang menerajui PN menerusi kenyataan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, pada 21 Ogos dilihat bersedia dengan sebarang kemungkinan dan menjelaskan gabungan pembangkang mempunyai alternatif jika BN memilih untuk bekerjasama dengan PH di Melaka.
Melaka mempunyai 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan BN sebelum ini menegaskan untuk kekal mempertahankan 21 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya sebelum ini.
Sementara itu Pensyarah Kanan, Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Encik Muhammad Ariff Asyrul Adnan, berkata naratif BN sebagai kingmaker bukan sekadar retorik politik, sebaliknya ia mempunyai kekuatan khususnya dalam konteks model politik gabungan.
Ditanya jangkaan rakan kerjasama pilihan BN di Melaka sama ada PH atau PN, beliau melihat pengumuman yang dilewatkan sebagai strategi BN untuk memaksimumkan kelebihan tawaran dengan salah satu gabungan sehingga saat-saat akhir.
“Secara umum, ketiga-tiga blok mengambil kira faktor kedudukan kerusi, kos peluang, segmentasi dan kesetiaan pengundi teras sebelum membuat sebarang keputusan kerjasama.
“Bagi BN, kriteria utama antaranya ialah kelangsungan komponen bukan Melayu seperti Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC).
“Kedudukan Umno sebagai peneraju BN pula menepati syarat perundingan, legitimasi dalam kalangan pengundi Melayu konservatif, serta bukti empirikal daripada kerjasama peringkat negeri seperti di Negeri Sembilan, sebelum ia diperluaskan ke peringkat Persekutuan,” katanya kepada BH.
Encik Muhammad Ariff menjelaskan, pemilihan rakan kerjasama yang tepat amat penting kerana ia secara langsung menentukan kelangsungan sesebuah parti dalam sistem pelbagai parti tanpa dominasi tunggal seperti yang wujud di Malaysia kini.
“Kesilapan memilih rakan kerjasama boleh menyebabkan kerugian kerusi yang ketara, sama ada akibat pertembungan calon atau kehilangan sokongan pengundi teras yang tidak selesa dengan rakan gabungan tertentu dan kita tidak mahu ia sekadar ‘electoral pact’ (pakatan pilihan raya) sahaja.
“Pemilihan rakan kerjasama yang tepat juga penting untuk mengekalkan kredibiliti jenama politik sesebuah parti, kestabilan politik dan mengelakkan risiko perpecahan dalaman gabungan itu sendiri,” katanya.
