Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: Timbang tahanan rumah bagi Najib hanya lepas kes 1MDB selesai

Namun akan cadangkannya hanya jika diminta oleh Agong
May 15, 2024 | 4:36 PM
Bekas perdana menteri Malaysia, Najib Razak, sedang menjalani humkuman penjara bagi kesalahan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana milik SRC International Sdn Bhd, sebuah anak syarikat dana pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Beliau juga dihukum denda.
Bekas perdana menteri Malaysia, Najib Razak, sedang menjalani humkuman penjara bagi kesalahan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana milik SRC International Sdn Bhd, sebuah anak syarikat dana pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Beliau juga dihukum denda. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berpandangan bahawa Yang di-Pertuan Agong hanya perlu mempertimbangkan tahanan rumah bagi bekas perdana menteri Najib Razak selepas selesai kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, Datuk Anwar menegaskan beliau hanya akan memberi cadangan tersebut jika diminta oleh Agong.

“Jika Agong meminta nasihat saya, saya akan berkata, ‘Tuanku, lalui proses itu’,” katanya dalam satu wawancara bersama Bloomberg dalam Forum Ekonomi Qatar 2024 di Doha, lapor Berita Harian Malaysia.

Sesi berkenaan dikendalikan oleh Ketua Koresponden Antarabangsa Asia Tenggara Bloomberg Television, Cik Haslinda Amin, sebagai moderator.

Datuk Anwar sedang mengadakan lawatan kerja ke Qatar bagi menghadiri forum antarabangsa di Doha.

Beliau berpendirian bahawa semua pihak harus menumpukan pada prosiding kes 1MDB yang sedang berjalan, berbanding isu tahanan rumah untuk Najib, yang dibangkitkan mutakhir ini.

“Akhirnya Agong yang akan membuat keputusan. Saya sebagai Perdana Menteri tidak akan melangkaui (kuasa) Agong,” katanya.

Beliau berkata bekas Ahli Parlimen (AP) Pekan itu kekal menjalani hukuman di penjara sepanjang rayuannya didengar, namun berhak mengemukakan rayuan pengampunan dan hak yang sama juga wajar melibatkan seluruh rakyat.

“Sudah tentu beliau ada hak untuk kemukakan rayuan kepada Lembaga Pengampunan. Saya nasihatkan Agong supaya pertimbang juga proses (rayuan) ini dalam semua kes yang melibatkan rakyat Malaysia, yang memohon (pengampunan),” katanya.

Pada 1 April, Najib, 70 tahun, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum, atau titah tambahan Agong ke-16.

Presiden Umno, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilapor mengesahkan kewujudan Titah Adendum berkenaan menerusi afidavit yang diikrarnya pada 9 April.

Najib didapati salah atas tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Pada 2 Februari, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, mengumumkan bahawa Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022.

Pengurangan hukuman penjara itu bermakna Najib bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Titah Adendum itu adalah supaya Najib menjalani baki tempoh pemenjaraannya itu selama enam tahun di rumah.

Selain tarikh pembebasan awal itu, denda yang perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta ($60.27 juta) kepada RM50 juta.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg