Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: Trump bakal hadir sidang Asean di KL pada Okt

Presiden Amerika itu juga akan umum kadar tarif M’sia pada 1 Ogos
Jul 31, 2025 | 3:01 PM
Malaysia, Anwar Ibrahim, Rancangan Malaysia Ke-13, Donald Trump, Amerika Syarikat, tariff, sidang puncak, Asean
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto BERNAMA

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, akan menghadiri Sidang Puncak Asean Ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober ini.

Malaysia, di bawah pimpinan Datuk Anwar, adalah Pengerusi Asean 2025.

Selain itu Datuk Anwar memaklumkan Presiden Trump juga dijangka mengumumkan kadar tarif import baru yang dikenakan ke atas Malaysia pada 1 Ogos.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan, berkata perkara itu adalah antara perbincangan yang disentuh menerusi panggilan telefon dengan Presiden Trump, pada pagi 31 Julai, sehari sebelum tempoh pelaksanaan tarif import 25 peratus yang dikenakan terhadap Malaysia bermula pada 1 Ogos.

“Saya ingin memaklumkan bahawa pada 6.50 pagi (31 Julai), saya telah berpeluang bercakap melalui telefon dengan Presiden Amerika, Encik Trump.

“Kami turut membincangkan soal tarif atas semangat dan prinsip perdagangan bebas, juga mengenai pelbagai siri rundingan yang digerakkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri bersama wakil perdagangan Amerika dan Setiausaha Perdagangan Amerika.

“Setelah mendapat penjelasan saya, maka beliau memutuskan untuk menyemak semula kadar tarif yang akan dikenakan ke atas Malaysia selewat-lewatnya esok (1 Ogos).

“Kita berdoa supaya ia (keputusan itu) tidak membebankan ekonomi negara kita,” kata Datuk Anwar ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat pada 31 Ogos. 

RMK-13 ialah pelan pembangunan lima tahun (2026 hingga 2030) Malaysia untuk memastikan pembangunan terangkum dan adil di seluruh negara.

Pada 10 Julai, Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, ketika lawatan kerjanya ke Malaysia mengesahkan negara anggota Asean mungkin dikenakan tarif perdagangan lebih rendah berbanding rantau lain.

Datuk Anwar juga berkata Encik Trump turut menyatakan penghargaan setingginya kerana Malaysia telah memainkan peranan berkesan dan sebaiknya dalam menyelesaikan konflik Thailand dan Kemboja.

Menyusuli kejayaan Malaysia di bawah pimpinan Datuk Anwar sebagai Pengerusi Asean 2025, ia menemukan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Encik Phumtham Wechayachai, dan Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet, di meja rundingan dekat Putrajaya pada 28 Julai.

Rundingan itu membawa kepada persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat, bagi menghentikan ketegangan akibat perebutan kawasan sempadan di dua negara itu, yang sudah berlarutan sejak berdekad lamanya.

Dalam pada itu, Datuk Anwar turut memaklumkan kerajaan memperuntuk sejumlah RM611 bilion ($185.94 bilion) untuk menjayakan RMK-13 dengan RM430 bilion membabitkan dana kerajaan.

Beliau berkata kerajaan juga memerlukan pembiayaan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) berjumlah RM120 bilion, manakala sokongan pihak swasta melalui kaedah perkongsian awam swasta (PPP) sebanyak RM61 bilion.

“Daripada peruntukan RM430 bilion ini, lebih separuh iaitu RM227 bilion akan disalurkan kepada sektor ekonomi sebagai tunjang utama pertumbuhan negara.

“Sektor sosial turut diberi keutamaan iaitu RM133 bilion diperuntukkan dengan sektor pendidikan menerima RM67 bilion, manakala sektor kesihatan diperuntukkan RM39 bilion,” katanya.

Menurut Datuk Anwar, Kerajaan Perpaduan juga berjaya menurunkan komitmen hutang baru iaitu daripada sekitar RM99 bilion pada 2022; kepada RM92.6 bilion (2023); seterusnya RM76.8 bilion pada 2024.

Pengurangan hutang baru itu ujar beliau dicapai menerusi langkah perubahan fiskal yang berjaya mengurangkan kadar defisit secara tekal setiap tahun, dalam tempoh tiga tahun pentadbiran kerajaan Madani.

Datuk Anwar juga menegaskan tempoh lima tahun mendatang adalah tempoh genting bagi Malaysia melonjak bukan hanya ke arah negara berpendapatan tinggi, malah mampu melahirkan rakyat berjiwa insaniah dan menyediakan kehidupan bermutu.

Justeru katanya RMK-13 itu akan menjadi titik tolak kepada usaha kerajaan ke arah itu, seiring tema RMK-13 iaitu, ‘Melakar Semula Pembangunan’, demi mengangkat martabat rakyat.

Antara inti pati menarik dalam RMK-13 ialah kerajaan akan membangunkan zon khas pelaburan pelancongan (STIZ) khususnya di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak, sebagai pemangkin kepada penciptaan produk pelancongan baru negara.

“Setelah mendapat penjelasan saya, maka beliau (Encik Donald Trump) memutuskan untuk menyemak semula kadar tarif yang akan dikenakan ke atas Malaysia selewat-lewatnya esok (1 Ogos). Kita berdoa supaya ia (keputusan itu) tidak membebankan ekonomi negara kita.”
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg