CYBERJAYA (Kuala Lumpur): Malaysia kini berada pada kedudukan lebih kukuh dalam urusan perniagaan dan menarik pelaburan asing kerana tumpuan dunia sedang terarah kepada tahap kecekapan negara itu selepas kejayaan penganjuran Sidang Puncak Asean, kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kejayaan Malaysia menganjurkan sidang puncak tersebut, khususnya dari segi keselamatan dan pengurusan, telah mendapat pujian pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
Datuk Anwar berkata Encik Trump secara peribadi menyatakan kekagumannya terhadap kecekapan dan tahap profesionalisme Malaysia, malah turut meminta untuk bertemu Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, bagi menyampaikan penghargaan tersebut.
“Seluruh pasukan kita, khususnya pihak polis, menunjukkan tahap profesionalisme dan pengurusan keselamatan yang mengagumkan sepanjang lawatan Presiden Trump dan Perdana Menteri China, Encik Li Qiang. Mereka benar-benar kagum dengan tahap kecekapan kita,” katanya ketika melancarkan Taman Reka Bentuk IC Semikonduktor Malaysia 2.
Dengan pengiktirafan global yang diterima, Datuk Anwar menyeru rakyat Malaysia agar meningkatkan kemahiran dan bergerak pantas dalam merebut peluang perniagaan yang sedang terbuka, lapor The Star.
“Malaysia dan Asean hanya akan berjaya jika kita meningkatkan perdagangan dan pelaburan merentasi sempadan. Kita juga perlu memperkukuh jaringan dengan negara seperti Amerika Syarikat kerana mereka mempunyai kekuatan dalam perdagangan.
“Eksport kita ke Amerika Syarikat adalah tinggi, merangkumi 20 peratus daripada jumlah import semikonduktor mereka, bernilai kira-kira RM200 bilion ($62 bilion). Ini melibatkan ribuan rantaian bekalan dan menyokong ribuan pekerjaan.
“Kita juga bekerjasama dengan China kerana kemajuan mereka sangat pesat. Saya bersikap baik dengan semua pihak kerana ini demi kebaikan negara, dan kita adalah negara dagang yang bersikap terbuka kepada semua,” katanya.
Datuk Anwar berkata projek semikonduktor perlu disokong oleh pusat penyelidikan, prasarana terbaik dan tenaga kerja paling mahir.
“Kita harus menyediakan insentif untuk menjadikan Malaysia destinasi pelaburan utama, namun bagi menjaga kepentingan negara, kita juga perlu menyediakan kumpulan bakat terlatih daripada anak muda tempatan,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata taman reka bentuk IC tersebut penting dalam membangunkan cip pertama yang direka sepenuhnya di dalam negara.
“Bagi memperkukuh usaha memperkasa industri semikonduktor, kerajaan negeri melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah bekerjasama dengan Artem Venture Fund untuk menubuhkan Dana Semikonduktor Selangor (Ehsan Capital).
“Dana ini menyasarkan modal melebihi RM100 juta dan akan mula beroperasi bulan ini (November), dengan memberi tumpuan pelaburan kepada sekurang-kurangnya tujuh syarikat pemula tempatan berpotensi tinggi dalam reka bentuk dan teknologi semikonduktor.
“Ini adalah komitmen jangka panjang kerajaan negeri untuk melahirkan pakar tempatan dalam penyelidikan, pembangunan dan teknologi reka bentuk cip. Ini memastikan Malaysia bukan sekadar pengguna teknologi tetapi juga pencipta pembaharuan di rantau ini,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg