Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keadaan kesihatannya semakin pulih dan beliau menzahirkan penghargaan kepada semua yang telah mendoakan kesejahteraannya.
Datuk Anwar yang dilaporkan mengalami sakit belakang sehingga terpaksa membatalkan lawatan kerja ke Pahang pada 2 November, sudah kembali bekerja dengan hadir di Parlimen pada pagi 4 November bagi sesi pertanyaan bersama Perdana Menteri.
Selain itu beliau juga antara lain dijadual menghadiri Majlis Pelancaran Kolej Universiti Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur, pada 3 petang 4 November.
Dalam hantaran di media sosialnya pada 3 November, Datuk Anwar dilihat mengambil peluang berehat seperti disarankan doktor dan meluangkan masa bermain bersama cucunya di rumah.
“Healing (berehat) dengan cucu. Alhamdulillah, kian beransur pulih. Terima kasih atas doa semua,” katanya dalam hantaran di Facebook pada 3 November.
Pada 2 November, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan bahawa Datuk Anwar terpaksa membatalkan lawatan kerja beliau ke negeri Pahang yang dijadual pada hari sama.
Menurut kenyataan itu, pembatalan saat akhir terpaksa dibuat atas nasihat pasukan perubatan setelah Datuk Anwar mengalami sakit belakang, yang menyebabkan pergerakannya terbatas.
“Atas nasihat doktor, Perdana Menteri dinasihatkan agar mendapatkan rehat yang mencukupi.
“Perdana Menteri memohon maaf setulusnya, khususnya kepada rakyat Pahang yang telah bersiap sedia menyambut kehadiran beliau,” katanya.
Di ruangan komen media sosial Datuk Anwar, ribuan warga siber mendoakan supaya Menteri Kewangan itu segera kembali sihat.
Sementara itu dalam hantaran lain di Facebook pada 4 November, Datuk Anwar menarik perhatian ramai dengan turut merakamkan penghargaan kepada isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Di setiap langkah, ada tangan yang sentiasa memastikan saya tidak sendirian. Love (sayang), Azizah,” tulisnya sambil menyertakan gambar beliau bersama Dr Wan Azizah dari arah belakang.
Terdahulu Dr Wan Azizah, berkata jadual kerja yang terlalu padat memberi kesan kepada kesihatan suaminya itu yang akhirnya terpaksa akur dengan nasihat doktor supaya berehat, bagi mengelak kesan lebih buruk terhadap kesihatannya.
“Doktor periksa beliau dan dinasihatkan suruh berehat, jadi beliau terpaksa (berehat).
“Sebenarnya beliau sudah siap untuk ke program di Pahang (pada 2 November), tetapi beliau kata jika teruskan ke Pahang menaiki helikopter, mungkin boleh beri kesan lebih teruk pada kesihatannya yang melibatkan otot.
“Alhamdulillah beliau okey dan saya pun ingatkan juga supaya janganlah jadualnya terlalu padat,” katanya pada 2 November.
Datuk Anwar sebelum ini berlepas pulang ke Malaysia dari Korea Selatan pada 1 November, selepas menamatkan lawatan kerja bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec), pada 31 Oktober.
Sebelum itu, Datuk Anwar dalam jadual yang padat mempengerusikan Sidang Kemuncak Asean ke-47 dari 26 hingga 28 Oktober yang dihadiri pemimpin dunia berpengaruh termasuk Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump di Kuala Lumpur.
Sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada November 2022, Datuk Anwar belum mengambil cuti rehat dan sibuk menghadiri jemputan pelbagai program di Malaysia dan negara luar.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg