TIANJIN (China): Syarikat peneraju global dalam bidang polimer anti-penuaan dan kosmetik, Rianlon Corporation, menyatakan komitmen menubuhkan kilang pembuatan serta kemudahan penyelidikan dan pengembangan (R&D) di Johor.
Perkara itu dimaklumkan ketika pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama wakil syarikat dari China itu pada 1 September sempena lawatan kerja empat hari beliau ke negara berkenaan.
Pertemuan secara tertutup itu berlangsung dengan Ketua Pegawai Eksekutif Rianlon, Encik Li Haiping, dan Ketua Pegawai Teknologi, Encik Sun Chunguang, dan diadakan di Hotel Banyan Tree Tianjin Riverside.
Perdana Menteri berkata syarikat berkenaan bakal melabur sebanyak RM820 juta ($249 juta) bagi projek terbabit.
“Pelaburan ini akan membuka peluang kepada pekerjaan berkemahiran tinggi dalam kalangan rakyat,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menerusi satu hantaran di media sosial memaklumkan bahawa projek berkenaan akan dilaksanakan di Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat, Johor.
Beliau berkata projek itu dijangka mewujudkan lebih 300 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta mengukuhkan ekosistem bidang bahan kimia negara.
“Pelaburan ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah membawa masuk teknologi canggih selari dengan matlamat Pelan Induk Perindustrian Baru (NIMP) 2030.
“Ini satu langkah penting dalam mengukuhkan ekosistem bahan kimia negara dan melonjakkan Malaysia ke rantaian nilai yang lebih tinggi.
“MITI mengalu-alukan pelaburan dari Rianlon dan bersedia menjadi rakan strategik dalam inovasi serta pertumbuhan industri,” katanya menerusi platform X.
Dalam perkembangan berasingan, Datuk Anwar turut mengadakan pertemuan dengan barisan kepimpinan tertinggi China Communications Construction Company Limited (CCCC), iaitu kontraktor utama projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Datuk Anwar bertemu Pengerusi CCCC, Encik Song Hailiang, serta Naib Presiden syarikat itu, Encik Chen Zhong.
“Bersama CCCC, saya berpeluang meneliti perkembangan projek ECRL yang kini menjadi lambang persahabatan antara Malaysia dan China di bawah Belt and Road Initiative (BRI).
“Insya-Allah, ECRL akan merapatkan jurang pembangunan wilayah dan membawa limpahan ekonomi kepada rakyat,” katanya.
ECRL bertujuan menghubungkan kawasan Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
Apabila siap kelak, projek sepanjang 665 kilometer (km) itu akan menghubungkan Kota Bharu ke Pelabuhan Klang, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan penumpang dan kargo antara negeri-negeri Pantai Timur membabitkan Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan Lembah Klang di Pantai Barat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg