Sekitar 850,000 daripada lebih 22 juta warga Malaysia dewasa telah membelanjakan penghargaan Sumbangan Asas Rahmat (Sara) RM100 ($30.37) seorang pada hari pertama ia bermula pada 31 Ogos, dengan sejumlah RM50 juta telah dibelanjakan setakat ini.
Sebahagian pemimpin termasuk ahli politik pula memilih untuk menyalurkan sumbangan sekali sahaja yang diterima itu kepada keluarga kurang berkemampuan dan lebih memerlukan.
Malah, sebahagian besar penerima yang berkemampuan turut mengagihkan sumbangan diterima itu untuk ibu bapa dan keluarga mereka yang serba kekurangan.
Sumbangan Sara itu adalah insentif khas Kerajaan Perpaduan secara sekali beri menerusi MyKad (kad pengenalan) kepada kira-kira 22 juta warga Malaysia berusia 18 tahun ke atas, yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Julai lalu.
Ia boleh ditebus guna sehingga Disember.
Datuk Anwar berkata pemberian itu bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 pada 31 Ogos, sebagai ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup selain sebagai penghargaan kepada rakyat Malaysia dengan sejumlah RM2 bilion diperuntukkan bagi tujuan itu.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Cik Nurul Izzah, dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, antara pemimpin yang menunjukkan contoh dengan memberi pelbagai barangan keperluan menggunakan sumbangan RM100 yang kemudian diagihkan kepada golongan lebih memerlukan.
Dalam perkongsian di Facebook, Cik Nurul Izzah mengajak rakan-rakan partinya serta yang lain untuk turut sama mengagihkan RM100 yang diterima supaya lebih ramai keluarga kurang berkemampuan dapat dibantu.
“(Jumlah) RM100 mungkin nampak kecil bagi mereka yang hidup serba cukup. Namun, jumlah ini besar ertinya bagi golongan yang serba kekurangan. Ia boleh jadi rezeki yang mengenyangkan perut anak dan keluarga tersayang,” katanya.
Sementara itu Berita Harian Malaysia melaporkan, bantuan Sara itu bukan saja meringankan beban kos sara hidup rakyat, malah membuka ruang buat sebahagian penerima menzahirkan kasih sayang dengan membantu ibu bapa menyediakan barangan keperluan harian.
Seorang doktor di sebuah hospital swasta di Seremban, Negeri Sembilan, Dr Nursarah Izzah Ismail, 28 tahun, berkata beliau memanfaatkan peluang itu untuk menambah keperluan harian ibu bapanya yang menetap di Melaka.
“Dengan Sara, saya akan belikan barangan keperluan harian tambahan untuk ibu dan ayah, memandangkan selama ini saya memang selalu membelikan barangan keperluan asas untuk mereka.
“Ini juga merupakan satu peluang bermakna buat saya kerana inisiatif ini dapat dimanfaatkan bukan hanya untuk keperluan sendiri, bahkan juga untuk membantu ibu bapa,” katanya.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan pada 31 Ogos, berkata bilangan transaksi pada hari pertama tebus guna Sara itu adalah jauh lebih tinggi daripada pengalaman sebelum ini, sehingga menyebabkan berlaku masalah transaksi di beberapa kawasan.
“Sambutan tinggi daripada penerima penghargaan Sara pada 31 Ogos telah menyebabkan sistem mengalami transaksi mendadak.
“Susulan daripada itu, sistem terminal pembayaran yang dikendalikan melalui rangkaian MyKasih telah mengalami penurunan prestasi yang ketara di beberapa tempat.
“Walaupun sistem telah beroperasi dengan lebih perlahan, transaksi masih diterima dan diproses. MoF dan MyKasih telah mengambil langkah untuk meningkatkan kapasiti sistem supaya pada 1 September, rakyat dapat terus membuat pembelian melalui Sara dengan lancar tanpa gangguan,” kata MoF.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg