Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AP Bersatu tunjuk sokongan pada Muhyiddin

Nov 19, 2025 | 4:41 PM
Malaysia, Bersatu
Di rumah presiden Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, seramai 18 Ahli Parlimen termasuk Datuk Seri Hamzah Zainudin dikatakan makan malam bersama presiden mereka. - Foto FACEBOOK MUHYIDDIN YASSIN

KUALA LUMPUR: Perhimpunan yang diuar-uarkan akan diadakan bagi menyokong timbalan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin, di luar rumah presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada malam 18 November nampaknya tidak menjadi kenyataan.

Sebaliknya, mereka yang hadir menghadiri makan malam bersama Tan Sri Muhyiddin dan menunjukkan sokongan terhadap presiden Bersatu itu.

Pada 16 November, selepas jemputan untuk Ahli Parlimen (AP) Bersatu menghadiri majlis di Bukit Damansara itu tersebar, satu poster mula diedarkan dalam kumpulan WhatsApp bagi memaklumkan satu perhimpunan akan diadakan bagi mempertahankan Datuk Hamzah, lapor Malaysiakini.

Mereka yang rapat dengan Datuk Hamzah menafikan poster itu dengan menyifatkannya sebagai usaha tidak baik untuk memburukkan imej ketua pembangkang tersebut.

Ketika pengamal media menunggu di luar pintu gerbang ke Jalan Setia Bakti, Kuala Lumpur pada 7.30 malam 18 November, keadaan dilihat tenang.

Tiada bantahan berlaku di situ namun kereta peronda polis dilihat beberapa kali berlegar kawasan itu sepanjang malam.

Di rumah Tan Sri Muhyiddin, seramai 18 AP termasuk Datuk Hamzah dikatakan makan malam bersama presiden mereka.

Kecuali Datuk Hamzah dan tiga AP lain, semua AP lain menandatangani surat kepada Tan Sri Muhyiddin dua minggu lalu.

Surat itu membantah tindakan disiplin terhadap AP Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan; AP Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; serta timbalan presiden.

Wan Saiful dipecat daripada Bersatu, manakala Wan Fayhsal digantung kerana menyokong usaha Datuk Hamzah untuk menggantikan Tan Sri Muhyiddin.

Dua lagi yang menandatangani surat berkenaan iaitu Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota) dan Encik Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) yang tidak hadir.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa selepas makan malam, satu mesyuarat diadakan dan berakhir hampir 11 malam.

Seorang AP berkata kepada wartawan dalam perjalanan pulang: “Kami tidak membincangkan apa-apa berkaitan menggantikan ketua pembangkang atau presiden parti.”

Ini merujuk kepada khabar angin sebelum ini terdapat rancangan untuk menggantikan Datuk Hamzah dengan seorang pemimpin kanan Bersatu sebagai pemimpin pembangkang di Parlimen.

“Kami hanya bincang mengenai pilihan raya Sabah dan cara memperkuatkan parti,” kata AP itu.

Tan Sri Muhyiddin kini menghadapi tekanan daripada dalam parti itu untuk menyerahkan jawatan kepada Datuk Hamzah, dengan pengkritik berkata langkah itu perlu untuk menghidupkan semula Bersatu dan membina momentum menjelang pilihan raya umum akan datang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg