Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), komponen utama dalam gabungan pembangkang, Perikatan Nasional (PI), berada di ambang kerapuhan apabila pertikaian dalam kalangan kepimpinannya terus terdedah kepada umum, menandakan satu episod perpecahan dalaman yang sukar disembunyikan.
Apa yang dialami Bersatu hari ini disifatkan pemerhati politik sebagai krisis dalaman paling serius pernah dialami parti itu sejak penubuhannya pada 2016.
Parti pimpinan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, itu dikatakan bergolak kerana perebutan jawatan dan kedudukan sesama pemimpinnya, malah ramai dalam kalangan ahli dikatakan sudah hilang kepercayaan dan keyakinan dengan mantan ahli Umno itu untuk terus menerajui parti.
Ia dikaitkan dengan tanggapan bahawa imej Tan Sri Muhyiddin sebagai pemimpin dan ketua parti kian tercalar kerana beliau sedang berdepan tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram di mahkamah.
Malah, memburukkan keadaan, kisah menantunya yang juga usahawan dalam buruan, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, yang didakwa pecah amanah.
Terkini, Datuk Muhammad Adlan dikhabarkan hidup mewah di negara Asia Barat selepas melarikan diri sebaik bapa mentuanya didakwa, satu isu yang kerap menjadi bahan sindiran politik terhadap Tan Sri Muhyiddin, termasuk ketika di Parlimen.
Bibit ketegangan dalaman parti itu sebenarnya bermula pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu pada September lalu.
PAT berkenaan dicemari insiden kekecohan apabila sekumpulan ahli dipercayai penyokong Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, melaungkan ‘Turun Tan Sri’ ketika Tan Sri Muhyiddin menyampaikan Ucapan Dasar Presiden, untuk mendesak beliau meletak jawatan.
Ketika itu, terdapat desas-desus mengenai kewujudan dua blok – satu menyokong Tan Sri Muhyiddin dan satu lagi condong kepada Datuk Hamzah.
Kemelut itu kemudian disusuli dengan isu akuan bersumpah (SD) yang dikatakan ditandatangani 120 Ketua Bahagian Bersatu untuk mendesak Tan Sri Muhyiddin berundur sebagai Presiden dan melaksanakan peralihan kuasa segera kepada Datuk Hamzah untuk menerajui parti.
Pergolakan itu semakin memuncak apabila Lembaga Disiplin pada 14 Oktober lalu memecat Ahli Parlimen (AP) Tasek Gelugor (Pulau Pinang), Datuk Wan Saiful Wan Jan; menggantung keahlian AP Machang (Kelantan), Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal; dan seorang lagi Ketua Bahagian Bersatu.
Mereka didakwa dalang di sebalik SD untuk menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin dan menyokong kepimpinan Datuk Hamzah.
Pemecatan dan penggantungan keahlian tiga Ketua Bahagian Bersatu itu menjadikan kemelut semakin parah apabila beberapa pemimpin tertinggi parti secara terbuka terus mendesak Tan Sri Muhyiddin meletak jawatan atas alasan sudah hilang kepercayaan dan gagal mengemudi parti dengan baik.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (AMPT) Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, salah seorang pemimpin paling lantang mengkritik kepimpinan Tan Sri Muhyiddin, kemudian mengetuai 15 AP lain menandatangani surat rayuan.
Ia berkait rasa tidak puas hati terhadap beberapa tindakan disiplin yang dikenakan ke atas ahli yang menyokong usaha menaikkan Datuk Hamzah, malah mereka juga tidak bersetuju dengan keputusan parti untuk memanggil AP Larut (Perak) itu ke Lembaga Disiplin.
Menyorot kemelut dalaman Bersatu ini, penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakob, menyifatkan pergolakan itu amat meruncing dan memalukan, terutama bagi parti yang pernah menerajui kerajaan.
“Dalam keadaan rakyat, khususnya orang Melayu, bergelut dengan isu ekonomi, negara sedang menstabilkan politik, namun pemimpin Bersatu sibuk bersengketa semata-mata demi jawatan,” kata beliau kepada Berita Harian (BH).
Dr Mohammad Tawfik berkata pengendalian Tan Sri Muhyiddin terhadap krisis yang berlaku dilihat amat lemah bermula daripada tindakan enam AP Bersatu mengalih sokongan kepada Kerajaan Perpaduan pada Julai 2024, sehingga kes terkini pemecatan dan penggantungan tiga ahlinya.
Menurutnya, respons Tan Sri Muhyiddin selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada 4 November yang hanya melepas batuk di tangga dan menyeru “pemimpin Bersatu setuju sepakat henti konflik” dianggap tidak mencukupi.
“Sepatutnya beliau memanggil Datuk Hamzah dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, untuk duduk bertiga dan menyelesaikan isu ini, atau sekurang-kurangnya mengumumkan gencatan politik secara terbuka,” katanya.
Dr Mohammad Tawfiq menyarankan Tan Sri Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Presiden, memberi laluan kepada Datuk Hamzah menggantikan tempatnya, sementara Datuk Mohamed Azmin sebagai Timbalan.
“Tan Sri Muhyiddin boleh kekal sebagai Pengerusi parti jika mahu terus terlibat langsung dengan Bersatu. Pemimpin boleh datang dan pergi, tetapi parti akan terus kekal.
“Tindakan beliau melengahkan peralihan kuasa seolah-olah tidak mempercayai pemimpin lain untuk mengemudi parti,” katanya.
Perpecahan ini, tambah Dr Mohammad Tawfik, boleh mendorong lebih ramai ahli Bersatu meninggalkan parti atau menubuhkan blok politik baru.
Beliau memberi amaran keadaan itu berpotensi menyebabkan Bersatu hancur, dengan kemungkinan pemimpin yang tidak berpuas hati membawa isu dalaman untuk penyelesaian ke mahkamah, mengulang sejarah persaingan sengit dalam Umno pada 1988.
Krisis Bersatu, katanya lagi, turut membuka ruang kepada Kerajaan Perpaduan, khususnya Umno, untuk memperkukuhkan kedudukan politiknya.
Dr Mohammad Tawfik berkata kemelut Bersatu ibarat bonus dan ‘bola tanggung’ kepada Kerajaan Perpaduan khususnya Pakatan Harapan (PH) dan Umno.
“Umno khususnya tidak perlu kerja keras untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah, Melaka dan Johor serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang kerana musuh politiknya sedang berperang sesama sendiri.
“Saya yakin Kerajaan Perpaduan dan Umno akan berdepan laluan mudah dalam siri pilihan raya terdekat,” ujarnya.
Beliau menegaskan, jika krisis itu tidak ditangani segera, risiko terbesar akan dihadapi Bersatu termasuklah pemecatan lebih ramai pemimpin, ahli meninggalkan parti, kedudukan parti merosot dan konflik dalaman berlarutan.
“Tidak mustahil ada pemimpin dan ahli Bersatu beramai-ramai meninggalkan parti untuk menyertai parti lain yang boleh menjamin survival politik mereka,” katanya.
Penganalisis politik, Profesor Dr Azmi Hassan, berkongsi pandangan sama dengan menyifatkan punca utama kemelut Bersatu ialah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin sendiri yang kian diragui.
“Jika Tan Sri Muhyiddin dapat membawa parti ke hadapan seperti sebelum ini, tidak timbul masalah beliau akan dicabar seperti sekarang.
“Namun sejak setahun lalu, masalah mahkamah dan isu kesihatan beliau menyebabkan Bersatu terumbang-ambing tanpa pilot (pengemudi) yang jelas,” katanya kepada BH.
Profesor Dr Azmi menambah, ahli Bersatu yang mahukan kepimpinan baru kini melihat Datuk Hamzah sebagai alternatif dan ketegangan itu berpunca daripada persepsi bahawa Tan Sri Muhyiddin tidak lagi mampu membawa parti ke jalan kemenangan menjelang PRU16 dan yang terhampir PRN Sabah.
Isu kemelut itu, kata Profesor Dr Azmi, turut memberi kesan kepada imej Bersatu dan PN di mata akar umbi.
Beliau, yang juga Felow Majlis Profesor Negara dan geostrategis Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, berkata pergolakan dalaman menjejas keyakinan pengundi, bukan saja dalam kalangan pengikut Bersatu, bahkan juga penyokong PN secara keseluruhan.
“Jika isu ini tidak dapat diselesaikan, ia bukan saja menjejas akar umbi Bersatu, malah juga menimbulkan cabaran kepada PN untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan Persekutuan pada PRU akan datang,” jelas beliau.
Profesor Dr Azmi turut menegaskan krisis itu boleh mempengaruhi persiapan PN menghadapi PRN Sabah pada akhir November ini dan Bersatu diharap menjadi tunjang untuk PN memperluas pengaruh dan kuasa di negeri itu.
Mengenai hubungan Bersatu dengan rakan dalam PN terutama Parti Islam SeMalaysia (PAS), Profesor Dr Azmi, menekankan tindakan PAS memilih untuk tidak campur tangan, dianggap langkah bijak.
Bagaimanapun, jika Bersatu gagal menyelesaikan kemelut, beliau berpendapat tidak mustahil untuk PAS menilai semula kerjasama mereka dalam PN.
Beliau menambah, isu pembahagian kuasa bukan punca utama di sebalik kemelut dalaman Bersatu ini, sebaliknya keupayaan Tan Sri Muhyiddin mengemudi parti menjadi punca utama krisis.
Justeru beliau berpandangan amat wajar untuk Bersatu segera melakukan pembaharuan kepimpinan bagi memulihkan parti, memperkukuh sokongan akar umbi, dan mengekalkan kestabilan PN menjelang PRU akan datang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg