Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

AP Gua Musang nafi ditawar habuan, mahu saman pemimpin Bersatu

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

AP Gua Musang nafi ditawar habuan, mahu saman pemimpin Bersatu

Nov 15, 2023 | 01:33 PM



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen (AP) Gua Musang, Encik Mohd Azizi Abu Naim, berkata beliau akan memfailkan saman terhadap Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris, yang menuduhnya menerima sogokan untuk mengisytiharkan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Encik Mohd Azizi mendakwa tuduhan itu satu fitnah dan beliau menafikan ada ditawarkan apa-apa bentuk habuan.

“Perkara ini tak betul dan fitnah yang paling buruk. Saya akan failkan saman kepadanya (Razali) yang telah membuat kenyataan menuduh saya ada terima sogokan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.


Pada 11 November lalu, Datuk Razali mendakwa wujudnya unsur sogokan kepada empat AP yang menyatakan sokongan terhadap perdana menteri.

“Dalam kes ini kita percaya wujud unsur-unsur sogokan yang menjanjikan habuan selepas mereka menyatakan sokongan terhadap perdana menteri.

“Kita akan pertimbangkan tindakan undang-undang termasuk membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” kata Datuk Razali.

Terdahulu, Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor, meluahkan rasa terkejut dengan tindakan Encik Azizi yang menjadi AP Perikatan Nasional (PN) ketiga mengisytiharkan sokongan kepada Datuk Anwar.

Manakala, Ketua Penerangan Bersatu Kelantan, Encik Bahari Mohamad Nor, pula mendakwa bahawa Encik Mohd Azizi ada memberitahu terdapat broker politik yang menawarkan sejumlah wang lumayan berserta lain-lain manfaat kepada AP pembangkang yang mahu buat kenyataan sokong perdana menteri.

Bagaimanapun, Encik Mohd Azizi tampil menafikan perkara tersebut dan memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu dalam masa terdekat.

“Pengerusi negeri telah memutar belit kenyataan saya, yang saya cakap lain tapi mereka buat tafsiran lain,” katanya.

Pada 10 November lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihaknya akan membuat laporan polis dan SPRM atas dakwaan adanya unsur rasuah dan ugutan berhubung peralihan sokongan beberapa AP daripada parti itu kepada Datuk Anwar.

Tan Sri Muhyiddin juga mendakwa pihaknya telah mengumpulkan bukti bagi menyokong dakwaan itu.

Sementara itu, dalam perkembangan terbaru, Ketua Pemuda Armada (Bersatu), Encik Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal, pada Selasa mendakwa terdapat dua individu yang bertanggungjawab menarik sokongan wakil rakyat pembangkang.

Menurutnya, individu terbabit adalah “Datuk Botak” dan bekas setiausaha politik Datuk Anwar, Datuk Farhash Wafa Salvador.

Namun, Datuk Farhash dalam satu kenyataan menafikan tuduhan berkenaan yang disifatkan sebagai fitnah dan berniat jahat serta akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Encik Wan Fayhsal.

Semenjak Oktober, empat AP Bersatu telah mengisytiharkan sokongan terhadap pentadbiran perdana menteri.

Mereka ialah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Encik Mohd Azizi (Gua Musang) dan Encik Zahari Kechik (Jeli).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >