Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AP Pasir Gudang: Ini bukan masa main politik minta Anwar letak jawatan sedang rakyat diancam musuh luar

Oct 6, 2025 | 3:23 PM
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Encik Hassan Abdul Karim.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Encik Hassan Abdul Karim. - Foto Fail

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen (AP) Pasir Gudang, Encik Hassan Abdul Karim, menegur tindakan Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk meletak jawatan.

Encik Hassan menyifatkan kenyataan itu tidak bertanggungjawab dan tidak wajar dikeluarkan pada waktu negara berdepan krisis luar.

Beliau berkata gesaan tersebut, yang dibuat Datuk Hamzah dalam satu perhimpunan di Kuala Lumpur pada 4 Oktober, keluar daripada mulut seorang Ketua Pembangkang yang seharusnya menunjukkan contoh kepimpinan matang dan berhemah.

“Kalau pun hendak jatuhkan kerajaan, bukan pada saat ini. Ketika ini, tumpuan utama negara sepatutnya adalah untuk membebaskan 23 rakyat Malaysia yang ditahan oleh Israel setelah menyertai pelayaran Global Sumud Flotilla (GSF),” katanya dalam satu kenyataan pada 5 Oktober.

Encik Hassan berkata sebagai Ketua Pembangkang, Datuk Hamzah sepatutnya memberi sokongan penuh kepada usaha diplomatik Perdana Menteri dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang ditahan itu.

“Datuk Anwar telah berusaha sebaik mungkin untuk membawa rakyat kita pulang dengan selamat, dan kini terbukti langkah diplomasi beliau berjaya apabila semua 23 warganegara Malaysia telah diselamatkan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa dalam situasi yang menyentuh keselamatan negara, semua pihak, baik kerajaan mahupun pembangkang, wajar mengetepikan perbezaan politik dan bersatu demi kepentingan rakyat.

“Apabila kita berdepan dengan musuh luar seperti Israel, seluruh Malaysia mesti bersatu. Nyawa rakyat kita yang ditahan mesti diselamatkan terlebih dahulu, inilah tanggungjawab kerajaan dan semua pemimpin politik,” ujarnya.

Dalam masa sama, Encik Hassan berkata pembangkang boleh terus memainkan peranan semak dan imbang di Parlimen, termasuk membahaskan isu kedatangan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, atau Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) yang dijadual dibentang pada 6 Oktober.

“Namun, dalam keadaan genting yang menyentuh nyawa rakyat, Perdana Menteri telah membuktikan kemampuannya dan lulus dalam ujian kepimpinan ini,” katanya.

Beliau turut menyeru agar Datuk Hamzah menunjukkan budi pekerti tinggi dengan mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Perdana Menteri serta Kerajaan Malaysia atas kejayaan membebaskan kesemua 23 rakyat Malaysia daripada tahanan Israel.

Pada 4 Oktober, Datuk Hamzah dilaporkan berkata Datuk Anwar perlu meletak jawatan sebagai Perdana Menteri berhubung dua isu besar, berkaitan RUU PSB dan kunjungan Encik Trump ke Malaysia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg