Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AP pembangkang M’sia lunas RM830,000 saman fitnah kepada pemimpin DAP

Jan 23, 2025 | 2:04 PM
(Dari kiri) Dr Siti Mastura Muhammad, Tan Sri Lim Kit Siang, Cik Teresa Kok dan Encik Lim Guan Eng.
(Dari kiri) Dr Siti Mastura Muhammad, Tan Sri Lim Kit Siang, Cik Teresa Kok dan Encik Lim Guan Eng. - Foto BH ONLINE

GEORGETOWN: Ahli Parlimen pembangkang (Kepala Batas), Dr Siti Mastura Muhammad, telah menyelesaikan bayaran sebanyak RM830,034.75 ($253,239) merangkumi ganti rugi, kos guaman dan faedah kepada veteran dan pemimpin DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, Encik Lim Guan Eng dan Cik Teresa Kok, susulan kalah saman fitnah seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 4 Disember lalu

Pembayaran dilakukan melalui cek ke akaun firma guaman yang mewakili ketiga-tiga plaintif, Datuk Sankara Narayanan Nair, pada 22 Januari.

Peguam mewakili Dr Siti Mastura, Encik Yusfarizal Yussoff, berkata meskipun pembayaran sudah dibuat, pihaknya memohon wang berkenaan disimpan dalam akaun peguam plaintif sehingga proses rayuan di Mahkamah Rayuan diselesaikan.

“Saya ingin memaklumkan satu persetujuan telah dicapai, dan saya percaya Datuk Nair (peguam pihak plaintif) boleh mengesahkan perkara ini.

“Defendan telah membuat pembayaran ke akaun firma guaman Datuk Nair dengan syarat wang berkenaan disimpan di dalam akaun tersebut sehingga rayuan di Mahkamah Rayuan selesai,” katanya kepada wartawan melalui aplikasi Zoom di sini pada 23 Januari, lapor Berita Harian Malaysia.

Dr Nair mengesahkan cek pembayaran berkenaan diterima lewat malam 22 Januari dan jumlah itu termasuk faedah, menjadikan keseluruhan RM830,034.75.

“Walaupun cek itu tertakluk kepada kelulusan (bank), kami yakin ia sah. Klien saya berpuas hati, dan kami menerima cek tersebut.

“Persetujuan ini akan direkodkan dan kami akan mengeluarkan surat aku janji yang diperlukan,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi menjadualkan prosiding pada 23 Januari untuk memutuskan permohonan Dr Siti Mastura bagi menangguhkan pembayaran kepada ketiga-tiga plaintif.

Bagaimanapun, peguam defendan memberitahu wartawan bahawa perkara itu sepatutnya disebut dalam kamar kerana terdapat perkembangan penting yang perlu dimaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Datuk Quay Chew Soon.

Encik Yusfarizal turut memaklumkan notis rayuan telah difailkan di Mahkamah Rayuan dan mahkamah telah menetapkan 13 Mac sebagai tarikh pendengaran kes tersebut, yang kini berada dalam peringkat pengurusan.

Mahkamah Tinggi pada 4 Disember lalu memutuskan kenyataan Dr Siti Mastura yang mendakwa tiga pemimpin DAP itu mempunyai pertalian dengan komunis dan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng sebagai fitnah dan tidak disokong bukti.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg