Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saman fitnah: AP PAS diperintah bayar RM825,000 kepada 3 pemimpin DAP

Dec 5, 2024 | 12:42 PM
(Dari kiri) Tokoh veteran Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Lim Kit Siang; Pengerusi DAP, Encik Lim Guan Eng; Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Cik Teresa Kok; dan Ahli Parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang, Cik Siti Mastura Muhammad, daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
(Dari kiri) Tokoh veteran Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Lim Kit Siang; Pengerusi DAP, Encik Lim Guan Eng; Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Cik Teresa Kok; dan Ahli Parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang, Cik Siti Mastura Muhammad, daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS). - Foto FREE MALAYSIA TODAY

GEORGETOWN (Pulau Pinang): Seorang Ahli Parlimen (AP) daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) diperintah membayar ganti rugi dan kos guaman berjumlah RM825,000 ($249,106) kepada tiga pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP), selepas didapati bersalah memfitnah mereka mempunyai pertalian dengan komunis.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membuat keputusan itu terhadap AP Kepala Batas (Pulau Pinang), Cik Siti Mastura Muhammad, yang kalah dalam kes saman fitnah difailkan tiga pemimpin DAP itu – tokoh veteran Encik Lim Kit Siang; Pengerusi, Encik Lim Guan Eng; dan Naib Pengerusi Kebangsaan, Cik Teresa Kok.

Hakim Quay Chew Soon pada 4 Disember memerintahkan Cik Siti Mastura supaya membayar ganti rugi RM300,000 kepada Encik Lim; RM250,000 kepada anak Encik Lim, iaitu Encik Guan Eng; dan RM200,000 kepada Cik Kok, lapor Free Malaysia Today.

Cik Siti Mastura juga diperintahkan membayar kos guaman sebanyak RM25,000 kepada setiap seorang pemimpin DAP tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan perlu dibayar ialah RM825,000.

Hakim Quay turut menetapkan faedah tahunan sebanyak 5 peratus sekiranya Cik Mastura gagal membuat pembayaran dalam tempoh yang ditetapkan.

Dalam penghakimannya, Hakim Quay memutuskan bahawa kenyataan Cik Siti Mastura, yang dibuat dalam satu ucapan di Kemaman, Terengganu, pada 2023 dan disebarkan di media sosial, adalah berunsur fitnah dan tanpa bukti.

Hakim Quay berkata Cik Siti Mastura bertindak dengan niat jahat dan pembelaannya berdasarkan alasan komen adil tidak dapat diterima.

Encik Lim dan anaknya Encik Guan Eng memfailkan saman di Mahkamah Tinggi pada November 2023 terhadap Cik Siti Mastura kerana dakwaan mereka mempunyai pertalian darah dengan pemimpin Komunis, Chin Peng dan mantan Perdana Menteri Singapura, mendiang Encik Lee Kuan Yew.

Cik Siti Mastura dalam pembelaannya berkata fakta terbabit diperoleh daripada bahan kempen Barisan Nasional (BN) dalam buku terbitan Jabatan Komunikasi gabungan itu (BNCOMMS).

Bagaimanapun, Hakim Quay dalam penghakimannya berkata kebergantungan terhadap sebuah buku yang didakwa diterbitkan oleh BN tidak boleh diterima kerana ia merupakan sebuah penerbitan ‘hantu’.

Menurutnya pihak pembelaan juga gagal memanggil pihak yang didakwa sebagai penerbit buku tersebut untuk memberikan keterangan, menyebabkan buku itu hanya dianggap sebagai ‘dokumen khabar angin’.

Hakim Quay juga berkata Cik Siti Mastura sebagai AP sama seperti Encik Lim Guan Eng dan Cik Kok di Dewan Rakyat, sepatutnya mendapatkan penjelasan secara terus daripada mereka sebelum membuat kenyataan seperti itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg