Sebagai penggemar kuih tradisional epok-epok, laporan Berita Harian bertajuk ‘Karipap Inti Oksigen wujud, peniaga M’sia jual 30 sen sebiji’ menarik perhatian saya.
Masakan tidak, epok-epok (dipanggil karipap oleh orang Malaysia) yang dijual si peniaga di Selangor itu tidak mempunyai sebarang inti dan dinamakan sebagai karipap inti oksigen.
Epok-epok itu dijual pada harga 30 sen Malaysia ($0.08). Kedai peniaga itu terletak di Kampung Sungai Tua Bahru, Batu Caves, Selangor.
Peliknya, epok-epok itu dikatakan penjual sebagai laris dan menjadi pilihan sebahagian pelanggannya.
Jika di Singapura, epok-epok hampir kosong ini selalu mengundang kemarahan pembeli yang berasa tertipu.
Malah, epok-epok seperti itu sering digelar epok-epok angin memandangkan intinya – sama ada kentang, sardin atau sayur – begitu sedikit dan lebih banyak ‘angin’ yang mengisi bahagian dalam kuih tradisional itu.
Sebagai peminat tegar kuih tradisional itu, saya juga sudah seringkali bertemu dengan epok-epok angin ini dan memang mendukacitakan, kerana intinya terlalu sedikit sehingga lebih terasa tepung (kulit epok-epok) daripada intinya.
Begitu juga dengan epok-epok sayur yang kini lebih menyerupai epok-epok tauge (sahaja) kerana kebanyakan isinya adalah tauge, dan tidak ada inti lain seperti lobak merah dan daun sup.
Di Singapura, kalau ada peniaga diketahui menjual epok-epok angin, kemungkinan pembeli akan berasa marah dan penjualan epok-epok itu mungkin diboikot.
Sebab itulah, saya terkejut sambil tersenyum apabila dilaporkan epok-epok inti oksigen di Selangor itu laris dijual dengan ramai pembeli mencarinya.
Sebab utama, kata pembeli, adalah kerana epok-epok itu digemari kanak-kanak yang lebih suka makan epok-epok tanpa inti – kerana ada kanak-kanak yang memang lebih suka makan kulit epok-epok sahaja, dan bukan intinya.
Mentelah, harga epok-epok inti oksigen ini lebih rendah daripada epok-epok jenis biasa dan kalau dimakan panas-panas seharusnya garing dan rangup.
Koresponden Berita Harian di Malaysia, Cik Hanneeyzah Baharin, yang mencuba epok-epok oksigen di Batu Caves itu berkata rasa epok-epok itu lebih lemak dan rangup, cuma kurang sesuai dengan tekaknya yang sukakan makanan pedas.
Namun, beliau berkata ramai juga pembeli yang menggemari epok-epok itu dan agak laris penjualannya.
Pada masa sama, beliau berkata epok-epok berinti daging dan berinti ayam yang dijual di kedai sama rasanya sedap pula.
Pokoknya, setiap orang ada selera masing-masing, dan mengikut peraturan asas ekonomi, jika ada permintaan, adalah bekalan.
Peniaga kini mungkin lebih berani mencuba mempelbagaikan bahan penjualan mereka dan kali ini terbukti epok-epok inti oksigen ini laris dan ada permintaan yang lumayan.
Mungkin juga atas nama inovasi, epok-epok akan berevolusi seperti yang telah berlaku kepada roti perata (roti canai di Malaysia) yang dulunya cuma ada perata kosong, telur dan bawang.
Kini, roti perata sudah ada pelbagai jenis seperti perata berperisa coklat, strawberi, keju dan bermacam lagi, yang sebahagian besarnya belum saya minat mencubanya.
Mana tahu, epok-epok tradisional kita juga akan melalui inovasi dan evolusi sama dengan dijual pula epok-epok pelbagai variasi seperti berperisa atau berinti coklat, strawberi, keju, telur masin dan sebagainya.
Contohnya, pastri Barat seperti kroisan sudah pun ada bermacam perisa seperti coklat, matcha (teh hijau), mentega kacang, strawberi, kaya dan bermacam lagi.
Mungkin satu hari nanti, ada peniaga yang mahu menjual epok-epok berjenis seperti itu, memandangkan kini sudah pun ada epok-epok inti oksigen yang laris di Selangor.
“
Di Singapura, kalau ada peniaga diketahui menjual epok-epok angin, kemungkinan pembeli akan berasa marah dan penjualan epok-epok itu mungkin diboikot. Sebab itulah, saya terkejut sambil tersenyum apabila dilaporkan epok-epok inti oksigen di Selangor itu laris dijual dengan ramai pembeli mencarinya. Sebab utama, kata pembeli, adalah kerana epok-epok itu digemari kanak-kanak yang lebih suka makan epok-epok tanpa inti – kerana ada kanak-kanak yang memang lebih suka makan kulit epok-epok sahaja, dan bukan intinya.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg