Angin monsun yang menyapu pesisir Desaru, Johor, bukan sekadar membawa ombak. Ia membawa harapan.
Di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi, deru air dan bunyi papan meluncur menjadi ‘bahasa’ yang difahami anak muda yang sedang belajar menundukkan rasa takut, mengasah keyakinan, dan memburu impian, termasuk dari Singapura.
Itulah suasana sepanjang Kejora Surfing Cup 2025, kejohanan tiga hari yang berlangsung dari 26 hingga 28 Disember 2025, apabila pesisir Tanjung Balau bertukar menjadi gelanggang terbuka bagi bakat serantau.
Program yang memasuki tahun ketiga itu bukan sahaja menghidupkan sukan papan luncur di Johor, bahkan mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai persinggahan pelancongan sukan yang kian mencuri tumpuan.
Kejohanan kali ini menghimpunkan 103 peserta dari tujuh negara – Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Amerika Syarikat, Canada dan Jepun, dengan penyertaan tertinggi membabitkan atlet Malaysia seramai 71 orang.
Bagi Encik Abdul Razak Ianal, 46 tahun, warga Singapura dari Choa Chu Kang, kawasan Pantai Tanjung Balau bukan lokasi asing.
Menurutnya, sudah lebih 28 tahun beliau datang ke kawasan itu untuk bermain ombak, sejak zaman suasana pantai jauh berbeza berbanding hari ini.
Beliau datang sebagai bapa kepada dua peserta, Aafiyah Raisha, 13 tahun, dan Aafiyah Raiqah, 12 tahun, yang menyertai pertandingan.
“Menang atau kalah bukan utama. Yang penting kita beri kepercayaan kepada mereka untuk mengalahkan ketakutan,” katanya sambil menekankan beliau tidak memaksa minat anak-anak, sebaliknya memberi ruang untuk mereka memilih haluan sendiri.
Dalam sukan yang menuntut kecekalan fizikal dan keberanian mental, bapa itu tidak menafikan wujud rasa bimbang apabila anak turun ke laut.
Namun rasa takut itu dibayar dengan latihan dan bimbingan yang betul.
Beliau sendiri mula meluncur pada usia 17 tahun, manakala anak-anaknya bermula seawal enam tahun.
Sementara itu, bagi Encik Haridzal Arshat, 46 tahun, pengurus pasukan bagi atlet papan luncur Singapura, Tanjung Balau dan kawasan Desaru menjadi ‘sekolah terbuka’ yang paling hampir bagi atlet republik itu.
Menurutnya, cabaran utama Singapura ialah ketiadaan ombak yang berterusan sepanjang tahun.
Disebabkan itu, musim monsun menjadi tumpuan latihan, dengan tempoh sekitar empat hingga lima bulan setahun.
Selebihnya, atlet terpaksa merancang latihan ke luar negara, termasuk ke Bali, bagi memastikan kemahiran tidak terputus.
“Kita bekerja dengan alam semula jadi. Kalau tiada ombak, kita tidak dapat berlatih,” katanya sambil menambah bahawa masyarakat Singapura sudah lama menjadikan pesisir Johor sebagai lokasi latihan, malah sejak 30 tahun lalu.
Bagi pihak penganjur tempatan pula, perjalanan membina kejohanan itu sendiri merupakan kisah yang mengundang simpati dan kekaguman.
Encik Salahudin Abu Bakar, 53 tahun, pengasas Kejora Surfing Cup yang juga Pengerusi Koperasi Sinar Tanjung Balau, bersama Encik Abu Bakar Ali, 59 tahun, yang merupakan Presiden Kelab Tanjung Balau Surf Community, berkata masyarakat setempat mula meluncur sejak 1994 dalam keadaan serba kekurangan.
Daripada papan pendek sukar didapati, mereka bermula dengan papan penyelamat yang panjang dan berkongsi sebuah papan secara bergilir.
Encik Salahudin berkata rakan-rakan dari Singapura banyak membantu, termasuk mendapatkan papan luncur yang ketika itu lebih mudah diperoleh di republik berkenaan.
Dari situ, minat anak-anak kampung berkembang, bilangan pemain bertambah, dan masyarakat pesisir membina asasnya sedikit demi sedikit.
“Pengalaman menyertai kejohanan pertama di luar Johor, termasuk ke Sunway Lagoon, apabila masyarakat kampung mengumpul dana untuk membawa beberapa pemain.
“Walaupun ketika itu kami masih “tidak dikenali”, pengalaman itu membuka mata bahawa sukan ini mampu membawa anak-anak pesisir ke pentas lebih besar,” katanya.
Dorongan itulah yang akhirnya melahirkan penganjuran kejohanan di Tanjung Balau, bermula pada 2023.
Edisi pertama menarik penyertaan Malaysia dan Singapura, edisi kedua berkembang dengan Indonesia, manakala edisi ketiga dan seterusnya menyaksikan kemasukan lebih banyak negara.
Dari sudut pembangunan sukan kebangsaan, kejohanan itu turut membawa nilai yang lebih tersusun.
Menurut Pegawai Teknikal dan Pembangunan Persatuan Luncur Ombak Malaysia, Encik Muhammad Muttakin Talib, 42 tahun, usaha sedang giat dijalankan untuk memastikan sukan papan luncur kembali disenaraikan dalam temasya Sukan SEA, selepas kali terakhir dipertandingkan pada 2019 di Filipina.
Beliau berkata dari sudut hierarki sukan antarabangsa, papan luncur sudah diiktiraf di peringkat tertinggi termasuk Olimpik dan Sukan Asia, menjadikan ketiadaannya dalam Sukan SEA sesuatu yang tidak sejajar dengan realiti landskap sukan serantau.
“Jika di peringkat Asia dan dunia sukan ini diiktiraf, sepatutnya di peringkat Asia Tenggara ia juga diberi ruang. Rantau ini dikelilingi laut dan memiliki ribuan atlet papan luncur,” katanya.
Menurut beliau, Persatuan Luncur Ombak Malaysia kini memberi tumpuan membina asas kukuh melalui sistem pemarkahan, kedudukan tahunan dan pemilihan atlet secara tersusun, supaya negara bersedia sepenuhnya apabila peluang menyertai Sukan SEA kembali dibuka.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Luncur Ombak Malaysia, Encik Sidiqin Omar, 43 tahun, menegaskan bahawa usaha membawa kemasukan sukan papan luncur ke dalam Sukan SEA sedang diteruskan dengan kerjasama pelbagai pihak, termasuk persatuan sukan negeri dan badan berkaitan di rantau ini.
Beliau berkata salah satu syarat utama untuk membolehkan sesuatu sukan dipertandingkan di peringkat Sukan SEA ialah penglibatan aktif beberapa negara anggota, serta kewujudan persatuan dan atlet yang berfungsi dengan baik di peringkat kebangsaan.
“Kita sudah ada asas itu. Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina masing-masing memiliki masyarakat dan atlet papan luncur yang aktif. Yang diperlukan sekarang ialah sokongan dasar dan kesepakatan serantau,” katanya.
Encik Sidiqin berkata sukan papan luncur wajar dilihat bukan sahaja sebagai acara sukan, malah sebagai pemangkin pelancongan sukan yang memberi manfaat ekonomi kepada negara penganjur, khususnya masyarakat pesisir.
“Apabila kejohanan dianjurkan, atlet dan penyokong akan datang, tinggal beberapa hari, dan berbelanja di kawasan setempat.
“Ini memberi kesan ekonomi dua hala kepada negara penganjur dan peserta,” katanya.
Sementara itu, Cik Ariane Latulippe, 26 tahun, peserta dari Canada, penyertaannya di Kejora Surfing Cup di Tanjung Balau didorong oleh keinginan membina masyarakat papan luncur wanita yang lebih tersusun di Malaysia.
Beliau berkata walaupun ramai wanita meluncur ombak secara santai, penyertaan mereka dalam pertandingan masih terhad, sekali gus memerlukan sokongan dan galakan bersama.
“Kadangkala seseorang hanya perlukan sedikit dorongan. Jika ada yang mengajak, yang lain akan ikut,” katanya.
Cik Ariane yang tiba di Malaysia dua tahun lalu dan mula meluncur di Cherating, berkata latar belakangnya sebagai bekas atlet gimnasium membantu dari segi disiplin dan pengurusan tekanan ketika pertandingan.
Bagi Encik Mikihiko Shiraishi, 51 tahun, peserta dari Jepun, penganjuran kejohanan di Pantai Tanjung Balau disifatkan lebih besar dan tersusun berbanding beberapa acara yang pernah disertainya di lokasi lain, termasuk di Pulau Tioman.
Beliau berkata kelebihan utama pesisir Desaru ialah akses yang mudah, khususnya dari Singapura, yang memudahkan kehadiran peserta dan pengunjung luar negara.
Faktor itu ujar beliau, menjadikan Tanjung Balau berpotensi sebagai lokasi tetap kejohanan papan luncur serantau.
Encik Mikihiko yang pernah menetap dan bekerja di Desaru selama lima tahun, berkata beliau sudah mengenali kawasan itu dengan baik, selain menganggap keadaan ombak di Tanjung Balau sesuai untuk pelbagai peringkat peserta, walaupun saiz ombak berubah mengikut musim.
“Setiap tempat ada keistimewaan. Di sini, aksesnya mudah dan suasananya mesra. Itu penting untuk acara besar,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Encik Mohd Gadaffie Abd Aziz, penganjuran Kejora Surfing Cup bukan sekadar acara sukan bermusim, sebaliknya mencerminkan perubahan falsafah pembangunan wilayah yang sedang digerakkan oleh agensi berkenaan.
Beliau berkata Kejora kini memberi tumpuan untuk berfungsi sebagai platform pemudah cara yang menghubungkan masyarakat, persatuan sukan, sektor swasta dan agensi kerajaan, bukannya bertindak sebagai pelaksana tunggal sesuatu acara.
“Perubahan itu sukar, tetapi jika tidak dimulakan sekarang, kita akan ketinggalan.
“Kejora tidak mahu sekadar menganjurkan acara, sebaliknya menjadi pemegang amanah kepada potensi wilayah ini,” katanya kepada BH.
Menurut beliau, pendekatan baru itu penting bagi memastikan Kejora kekal relevan untuk tempoh jangka panjang, khususnya apabila agensi berkenaan sudah berusia lebih lima dekad.
Tanpa perubahan hala tuju tambahnya, sesebuah institusi pembangunan berisiko menjadi lapuk dan tidak lagi memberi nilai tambah kepada masyarakat setempat.
Beliau menambah, kejohanan papan luncur seperti di Tanjung Balau mencerminkan bagaimana pembangunan bakat belia, pelancongan dan ekonomi setempat boleh bergerak seiring
“Ini bukan sekadar sukan. Ia adalah pelancongan, pembangunan belia dan pembinaan masyarakat. Apabila acara seperti ini dianjurkan secara konsisten dan terancang, kesannya akan berganda,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg